PERBICARAAN 1MDB | Bekas pegawai bank Najib Razak memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri itu menyedari tentang transaksi dalam akaun banknya yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Bekas pengurus perhubungan Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa atas alasan itu dia mematuhi permintaan Low untuk tidak mendedahkan kepada bank lain - Wells Fargo - bahawa pemegang akaun tersebut adalah Najib.

Saksi pendakwaan ke-41 itu menjawab soalan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan.

Shafee menyoalnya mengapa Yu memberitahu unit pematuhan AmBank ketika itu bahawa identiti pemegang akaun tersebut tidak boleh didedahkan kepada Wells Fargo, yang sedang menjalankan aktiviti pengubahan wang haram dengan meminta AmBank mendedahkan identiti pemegang akaun berkenaan.

Joanna Yu

Dakwaan aliran dana ke akaun Najib di AmBank adalah melalui Wells Fargo - sebuah bank antarabangsa - yang terlebih dahulu meminta bank Malaysia berkenaan mendedahkan identiti pemegang akaun tersebut.

Inti pembelaan Najib adalah bahawa tertuduh tidak menyedari kesalahan yang dilakukan melibatkan akaunnya, dan kesalahan itu didalangi oleh Low dan beberapa yang lain.

Shafee: Kamu kini sedar jika maklumat itu disalurkan dengan betul (kepada Wells Fargo), keseluruhan isu sama ada wang tersebut adalah kosher (sahl) atau tidak akan diketahui lebih awal dan kamu akan melindungi perdana menteri (Najib) itu?

Yu: Saya percaya dia (Najib) dimaklumkan. Cek telah dikeluarkan, kad kredit digunakan. Saya anggap bahawa dia tahu apa yang berlaku.

Muhammad Shafee Abdullah

Peguam bela itu kemudiannya mencelah dan berhujah bahawa Najib beranggapan wang itu adalah daripada sumbangan derma kerabat diraja Arab Saudi, justeru perdana menteri mengeluarkan cek dan kad kredit.

Sebelum ini, peguam pembelaan juga berkata bahawa Najib beranggapan dana yang masuk ke dalam akaunnya adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi dan bukannya daripada 1MDB.

Bagaimanapun, selepas asakan bertubi-tubi daripada Shafee, Yu mengakui Najib berkemungkinan Najib tidak mengetahui mengenai keadaan akaun banknya jika Low tidak mengemas kini atau memberitahu tertuduh.

Jho Low (kiri)

Shafee sebelum ini menyoal Yu sama ada Low - melalui perbualan dengan Yu melalui Blackberry Messenger (BBM) mengenai akaun Najib - sebenarnya bercakap benar tentang berkomunikasi dengan Najib atau sebenarnya mengelirukannya mengenai komunikasinya dengan perdana menteri ketika itu.

Shafee: Kamu tidak tahu jika Jho Low benar-benar mengemas kini (Najib) atau dia seorang penipu?

Yu: Tidak (bersetuju bahawa dia tidak akan tahu).

Saksi itu, yang pernah bekerja dengan AmBank, juga memberitahu mahkamah bahawa Low memintanya merahsiakan identiti Najib sebagai pemegang akaun tersebut kerana ia adalah akaun perdana menteri ketika itu.

Sebelum ini, Yu memberi keterangan bahawa dia sentiasa berkomunikasi dengan Low berhubung pengurusan akaun Najib.

Restu Najib

Yu juga sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan berasingan membabitkan kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib. Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan itu.

Perbicaraan 1MDB hari ini bersambung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Yu berada di kandang saksi selama 11 hari (termasuk hari ini) sejak 13 Okt tahun lepas, dengan sembilan daripada hari itu dihabiskan untuk disoal balas oleh peguam Najib.

Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib adalah antara timbalan pendakwa raya yang menganggotai pasukan pendakwaan.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion wang 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB telah dilakukan oleh Low dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.