Kerjasama antara BN dan PH dilihat wajar dipercepatkan lagi oleh kedua-dua pihak sebagai persediaan parti terbabit berdepan pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Rusdi Omar, berpendapat dengan tempoh yang ada sebelum berlangsungnya PRN semakin suntuk, kerjasama itu perlu diterjemahkan selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Katanya, kerjasama itu perlu diwujudkan segera bagi memudahkan gerak kerja dan persediaan kedua-dua parti mendepani PRN khususnya untuk menakluk negeri-negeri yang ditadbir PN.

Dalam situasi hari ini, katanya, rakyat juga boleh melihat dan menilai kerjasama serta hasil kerja kerajaan yang dibentuk antara kedua-dua gabungan parti berkenaan.

"Justeru di peringkat negeri-negeri kerjasama itu perlu direalisasikan segera bagi membolehkan percaturan dan strategi berdepan dilaksanakan dari awal, bukan bersifat di saat-saat akhir.

"Melalui kerjasama yang dibentuk pemimpin parti-parti yang terlibat boleh memulakan langkah untuk memberi tawaran kepada pengundi serta hala tuju mereka jika kemenangan dicapai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Rusdi berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerjasama di antara BN dan PH mampu memberi kesan saingan kuat terhadap parti lawan khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ketiga-tiga negeri terbabit kini ditadbir oleh PAS dan tidak menyertai Pahang, Perak dan Pahang membubarkan dewan undangan negeri masing-masing pada tahun lalu.

Turut tidak terbabit ialah negeri dikuasai PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kelantan, Terengganu dan Kedah dianggap kini merupakan kubu kuat PAS berdasarkan pencapaian PN dalam PRU ke-15 pada 19 Nov tahun lalu.

Keputusan PRU15 jadi panduan

PAS melalui PN merekodkan kemenangan menyapu bersih semua 15 kerusi parlimen di Kelantan, lapan Parlimen di Terengganu dan 14 di Kedah.

Rusdi berkata, jika kerjasama awal itu dilihat rakyat terlaksana segera gabungan parti dalam kerajaan persekutuan akan lebih berpotensi memberi saingan sengit.

"Apa yang dikatakan sebagai gelombang PN pada PRU ke-15 lalu menyaksikan sokongan daripada golongan pengundi muda.

"Pengundi muda sekarang saya jangka bersikap fleksibel, mereka akan membuat penilaian dan pilihan masing-masing boleh berubah berdasarkan situasi semasa," jelasnya.

Sementara itu meninjau sejauh mana kerjasama BN-PH mampu memberi saingan di kubu kuat PAS, pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berpendapat kerjasama itu tetap memberi cabaran besar.

Mazlan Ali

Hal itu kerana, katanya, gelombang dicipta PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU ke-15 lalu sukar diatasi dalam tempoh yang singkat walaupun dengan kerjasama erat BN dan PH.

"Namun saya menjangkakan akan berlaku lonjakan dan gabungan undi penyokong kedua-dua parti itu dan mampu memenangi kerusi-kerusi tertentu.

"Kalau di Kelantan, BN dengan gabungan undi PH tetap mempunyai potensi untuk memenangi kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah parlimen Gua Musang, Tanah Merah, Machang.

"Tetapi untuk mereka menawan dan merampas pentadbiran kerajaan PAS di Kelantan, saya rasa tidak akan berjaya berdasarkan situasi dalam PRU lalu," katanya.

Dengan perkembangan itu jelasnya gabungan BN dan PH bagaimanapun boleh menawarkan pilihan calon-calon wakil rakyat dengan semangat dan suasana baru serta lebih berketerampilan.