Anwar: Semua parti dalam k’jaan perpaduan akan kerjasama dalam PRN
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua parti dalam kerajaan perpaduan telah memberikan komitmen untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Bercakap dalam mesyuarat pertama Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini, Anwar turut mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa.
“Satu hal yang disepakati yang sangat positif bagi saya adalah kerana kesapakatan dan komitmen semua parti termasuk rakan-rakan dari Sabah, Sarawak untuk terus membantu sebagai satu pasukan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Tiga jawatankuasa itu merupakan Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik, dan Jawatankuasa Komunikasi Strategik.
Jelasnya, Jawatankuasa Perundingan Kerusi akan menumpukan perancangan PRN yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“…ia merencanakan hal PRN terutamanya dalam pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan mereka untuk memastikan kita punya tapak kukuh dalam PRN," jelas perdana menteri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Jawatankuasa Komunikasi Strategik pula ditubuhkan bagi memberi penjelasan mengenai salah faham dan fitnah melampau terhadap kerajaan.
“Contohnya isu pembakaran al-Quran… beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan mereka dalam kenyataan mereka seolah-olah kita belum berbuat apa-apa (mengenai itu).
“Padahal, masa itu kita telah mengeluarkan kenyataan keras mengecam, (di mana) Kementerian Luar panggil Kedutaan Sweden dan berikutnya saya umumkan pengedaran satu juta Quran,” katanya.
Manakala Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik bertujuan mengambil kira pandangan dan manifesto yang dikemukakan dan juga keutamaan yang melibatkan kos sara hidup dan kerjasama diantara semua kaum dan negeri.
Jawatankuasa berkenaan akan dikendalikan oleh Sekretariat Majlis Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Anwar sebagai pengerusi, Timbalan Perdana Menteri Fadhillah Yusof sebagai setiausaha agung; Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi sebagai ketua sekretariat dan ketua-ketua parti gabungan sebagai timbalan pengerusi.
Mesyuarat tersebut akan diadakan pada setiap bulan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi persediaan PRN, Anwar hanya berkata jawatankuasa PRN akan segera berbincang mengenai perkara itu.
Terdahulu, Anwar tiba di Menara Dato Onn kira-kira jam 7.40 malam bersama beberapa pemimpin kanan PH.
Penampilan Anwar di bangunan Umno itu merupakan yang pertama kali dalam tempoh 25 tahu selepas dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998.
Ia juga merupakan kali pertama bagi Anthony Loke - Setiausaha Agung DAP - dari sebuah parti yang berseteru dengan Umno sejak sekian lama dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/bfb46caa42c4383b5ed1c0044e8c709a.jpg)
