Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah mengadakan perbincangan dengan badan penasihat khas membabitkan golongan profesional dan pakar ekonomi yang dilantik untuk membantunya, semalam.
Bercakap kepada wartawan selepas Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini, Anwar ditanya adakah badan penasihat khas kepada menteri kewangan telah diberikan tugasan tertentu.
“(Pengerusi badan itu) Mohd Hassan ( Marican) akan umumkan... saya telah bincang dengan dia semalam,” katanya yang dipetik oleh Bernama.
Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan Mohd Hassan yang merupakan Penasihat Petronas untuk mengetuai badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan.
Anwar berkata kumpulan penasihat yang terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi bertanggungjawab bagi membantu menasihatinya selaku menteri kewangan.
Empat lagi anggota badan penasihat khas itu ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd Ahmad Fuad Md Ali, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi Universiti Malaya Prof Ulung Dr Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Bhd Abdul Hamed Sepawi.
