Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh: 6 polis antara tujuh bakal didakwa petang ini

Tujuh suspek terdiri enam anggota polis dan satu orang awam akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau petang ini melibatkan kes pembunuhan seorang lelaki pada 13 Jan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

“Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Idris berkata seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam telah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 31 Jan lalu Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

Sehari sebelumnya, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5 antara jam 7.30 dan 9 malam pada 13 Jan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS