Kerajaan Kelantan meletakkan harapan agar projek-projek berimpak besar di negeri itu tetap diteruskan oleh kerajaan persekutuan melalui Belanjawan 2023.

Timbalan menteri besarnya Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri juga berharap Kelantan - sebagai negeri yang ditadbir parti lawan Putrajaya - tidak diketepikan khususnya membabitkan peruntukan pembangunan dan kemudahan infrastruktur.

"Kelantan berharap tidak diketepikan kepentingan negeri-negeri terutama negeri yang diperintah oleh pembangkang (PN).

“Kami berharap sikap adil dan saksama dapat ditunjukkan oleh perdana menteri.

"Mana-mana projek yang diluluskan sebelum ini dapat diteruskan, projek yang sudah diangkat dan dipertimbang diharap terus dipertimbangkan untuk kelulusan terutamanya projek berimpak besar," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu semalam.

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb ini dilaporkan tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Okt 2022.

Namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan yang sudah dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan tetap diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang baru ini.

Mohd Amar berkata antara projek yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan di Kelantan ialah pembinaan Jambatan Palekbang, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Kompleks Sukan Bukit Merbau serta kemudahan sukan lain.

Katanya ini kerana Kelantan sudah dipilih menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 2026.

"Kelulusan itu kita harap boleh dikekalkan dan peruntukan-peruntukan untuk infrastruktur sukan dapat diteruskan seperti pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau dan beberapa kemudahan sukan lain," katanya.