Suami R Subashini - Muhammad Shafi Saravanan Abdullah yang telah memeluk agama Islam - merayu kepada orang ramai supaya berhenti menghakiminya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabat peguamnya di Subang Jaya semalam, Muhammad Shafi (sebelum ini T Saravanan), 31, merujuk kepada "kenyataan yang tidak benar" yang telah dibuat terhadapnya.

"Adalah tidak adil untuk dengan mudah menghakimi diri saya tanpa perbincangan yang wajar. Beberapa komen yang tidak wajar bukan sahaja akan menjejaskan saya [...] tolong jangan buat komen-komen sedangkan ia tidak benar," kata ahli perniagaan itu.

Peguamnya, Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa satu permohonan mungkin difailkan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan perintah larangan jika kenyataan seumpama masih berterusan.

"Ada pihak yang berkata, pelanggan kami hanya memeluk Islam untuk mengelak daripada tanggungjawabnya terhadap isterinya, R Subashini, di bawah undang-undang sivil.

"Pelanggan kami menegaskan bahawa kenyataan seumpama itu adalah tidak benar. (Ingat) kes ini masih disebut di mahkamah, jadi adalah penting untuk mengelak daripada membuat komen mengenai pelanggan kami supaya tidak prejudis," katanya.

Teliti artikel

Zainul, yang juga Presiden Persatuan Peguam Syariah berkata, firma guamannya sedang meneliti lebih 50 artikel mengenai Muhammad Shafi.

Ia termasuk artikel yang ditulis oleh mereka dalam kerajaan, pihak pembangkang, Majlis Peguam, badan bukan kerajaan, badan bukan Islam dan individu.

Pada 13 Mac, mahkamah rayuan telah menolak permohonan Subashini, 28, untuk menghalang Muhammad Shafi daripada membawa prosiding perceraian mereka ke Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, Subashini memperolehi perintah sementara daripada Mahkamah Rayuan menghalang Muhammad Shafi daripada meneruskan tuntutannya di mahkamah Syariah.

Perintah tersebut turut melarang suaminya itu daripada menukar agama anak kedua mereka (berusia setahun) dan daripada meneruskan tuntutan penjagaan anak-anak di Mahkamah Syariah. Anak pertamanya (berusia tiga tahun) telahpun memeluk Islam.

Mengambil langkah besar

Muhammad Shafi, banyak mendiamkan diri sepanjang sidang akhbar tersebut dan tidak membenarkan gambarnya diambil.

Ditanya mengapa beliau memeluk Islam Mei lalu, Muhamad Shafi berkata, beliau telah mempelajari tentang Islam sejak berusia 18 tahun.

Katanya, beliau memeluk agama Islam dengan rela hati selepas sekian lama mencari kebenaran dan kini telah menemuinya.

"Agama bukan sesuatu yang saya (dapat ) tahu hari ini dan memeluknya esok atau dalam satu atau dua tahun - ia (mengambil) masa untuk saya memeluknya. Keluar daripada agama Hindu dan memeluk Islam adalah seperti mengambil satu langkah yang besar dan tidak berpatah balik.

"Bagi saya untuk memahami agama ini dan berpuashati dengannya dan dengan rela hati memeluknya - itulah sebabnya saya mengambil masa yang lama. Itulah sebabnya saya fikir ia adalah masa yang tepat dan saya masih lagi belajar."

Katanya, beliau memeluk Islam bukan kerana mahu mengelak daripada tanggungjawab terhadap Subashini dan menjelaskan bahawa tidak ada wanita lain dalam hal ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa keluarganya telah merestui keputusannya untuk memeluk Islam.

"Saya sudah cukup besar dan saya boleh berfikir bagi diri saya dan membuat keputusan sendiri. Tiada bantahan dari keluarga saya apabila saya memeluk Islam. Saya masih menziarah ibu saya dan masih menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang anak walaupun saya sudah bertukar agama," katanya.

Ditanya mengenai anak-anaknya, beliau berkata mereka 'baik" dan anak sulung tinggal bersamanya.