Lim: Mulakan inisiatif reformasi institusi pada sidang parlimen ini
Sidang parlimen yang akan bermula beberapa hari lalu perlu meluluskan suatu piagam untuk melonjakkan kedudukan Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan usaha membanteras rasuah.
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata langkah tersebut sangat penting untuk menetapkan dan mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah.
"Saya telah berulang kali menegaskan, selepas enam dekad membina negara, Malaysia jatuh daripada status negara bertaraf dunia kepada negara yang biasa-biasa sahaja, melainkan kita menetapkan semula dan kembali kepada prinsip asas pembinaan negara bangsa yang diterapkan dalam perlembagaan dan Rukun Negara.
"Kerana inilah saya cadangkan supaya sidang parlimen selama tujuh minggu bermula Isnin ini patut dijadikan sidang yang tidak akan dilupakan dengan memulakan inisiatif reformasi institusi untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia
"Kegembiraan rakyat Malaysia patut menjadi keutamaan tertinggi kerajaan, bukannya kegembiraan golongan kroni dan kelas ahli politik seperti yang disaksikan sebelum ini dalam laporan Indeks Persepsi Rasuan Transparency International 2022 yang amat memalukan.," katanya.
Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan Malaysia kini berada di belakang Indonesia, Thailand dan Vietnam dari segi pelaksanaan dasar membabitkan ekonomi.
Anwar sebelum ini berkata Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan pada 24 Feb ini bakal membabitkan tindakan lebih radikal.
Dia yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan mempertimbangkan aspek daya saing, kecepatan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baru termasuk pendigitalan dan pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran.
Lim berkata dia tidak mahu Malaysia nanti akhirnya menjadi negara berpecah belah, gagal dan sebuah kleptokrasi dalam beberapa dekad akan datang.
"Saya tidak mahu kerajaan perpaduan Anwar digulingkan oleh satu lagi konspirasi politik seperti Langkah Sheraton.
"Kerana inilah saya memberikan amaran berulang kali terdapat dalang yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menamatkan hayat kerajaan perpaduan Anwar sebelum lengkap penggal lima tahun," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/7fa6fbefd4ac26e8afe22aed711d5738.jpg)
