Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umar dapat peluang wawancara ‘The Mandalorian’
Diterbitkan:  Feb 9, 2023 6:11 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Personaliti cilik Umar Amirul Shakur Haiccal mendapat peluang menemu bual bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk satu rancangan di Youtube.

Gambar-gambar dan video itu dikongsi oleh Mahathir di media sosialnya sebentar tadi.

Dalam acara dua susuk yang jauh beza umur itu–Umar berumur 12 tahun manakala Mahathir pula 97 tahun–Mahathir ditanya pelbagai soalan yang jarang-jarang diterimanya sebagai seorang tokoh politik.

Mahathir mendedahkan Umar antaranya bertanya bagaimana untuk mencapai umur 97 tahun dan kenapa ada topeng watak-watak siri francais Star Wars - The Mandalorian dan Darth Vader.

“Sebenarnya helmet ini dicetak menggunakan pencetak 3D.

“Saya berminat dan beli pencetak ini untuk buat sendiri beberapa barang, cumanya perlu belajar program dan sabar tunggu hingga siap,” katanya.

Mahathir yang mempunyai hobi mengukir kayu itu berkata teknologi baru itu memudahkannya berbanding sebelum ini.

“Kalau dahulu saya ukir kayu guna pisau dan tangan, sekarang semuanya  pakai mesin. Lebih mudah.

“Cuma perlu faham dan mahir untuk program mesin saja,” katanya.

Menyifatkan seronok mendengar celoteh Umar yang petah bercakap, Mahathir berkata dia juga ditanya berkaitan zaman persekolahan, pesan ibu serta kenapa dia membina KLCC, Putrajaya dan KLIA.

Dia juga memuat naik video keletahnya diminta membuat posing “mini love” bersama Umar.

“Sengaja saya usik minta jelaskan apa itu mini love.

“Yang saya faham, rapatkan ibu jari dan jari telunjuk tu  itu simbol minta duit!” katanya.

Umar sejak enam tahun lagi telah mempunyai peminat tersendiri. 

Dia antaranya pernah mendapat peluang sebagai pembaca berita cilik TV AlHijrah, sehinggakan namanya semakin dikenali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS