Parti Hijau Malaysia melantik firma guaman Tetuan Raj & Sach bagi mewakili mereka untuk menuntut penjelasan dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Setiausaha agungnya, Abdul Razak Ismail berkata tuntutan tersebut dibuat berhubung permit membenarkan kontraktor memasuki hutan simpan dan menjalankan kerja-kerja pembersihan di Taman Negeri Selangor.

"Penjelasan sewajarnya diperlukan kerana kontraktor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu China Comunication Construction Company (M) Sdn Bhd memasuki kawasan hutan simpan tersebut dan melakukan kerja-kerja pembersihan di 4 lokasi berasingan dalam kedua-dua hutan simpan tersebut yang boleh dilihat secara jelas dalam imej satelit oleh pemantau hutan, Rimba Disclosure Project," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya juga memohon melalui Enakmen Kebebasan Maklumat 2011 untuk mendesak kerajaan negeri memaklumkan sejauh mana pembukaan tanah untuk projek ECRL terbabit.

Sebelum ini, Projek Pendedahan Rimba mengaitkan sebuah syarikat China di Taman Negeri Selangor yang dilindungi.

Kata sebuah badan pemerhati alam sekitar itu mereka telah menemui melalui imejan satelit aktiviti yang boleh dipersoalkan yang kelihatan seperti pembersihan tanah.

Hasil menjalankan siasatan lapangan di sekitar lokasi menndapati notis kerja pembinaan telah didirikan, menunjukkan jalan sedang dibina untuk jajaran ECRL Gombak-Pelabuhan Klang.