Machap: Calon MCA, DAP nyanyi lagu tema kempen

   

Calon Barisan Nasional (BN) dan juga DAP bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap memulakan kempen di Machap Umbor malam tadi dengan menyanyikan lagu tema masing-masing.

Lebih menarik lagi, lokasi kempen mereka terletak sebelah menyebelah pada jarak kurang 100 meter.

Calon BN Lai Meng Chong, 56, anak tempatan, menyanyikan lagu rakyat Hakka bertajuk Qian Ren Zhong Shu Hou Ren Liang , yang bermaksud "sumbangan orang tua boleh dikongsi oleh generasi muda", demikian menurut laporan Bernama.

"Ia sebuah lagu tradisional. Ke mana sahaja saya pergi, saya akan nyanyikan lagu ini. Saya harap melalui lagu ini, kita akan kekal bersatu," kata Lai yang berketurunan Hakka, dalam majlis ceramah tersebut.

Katanya, beliau akan menyanyikan lagu itu dalam kempennya di kawasan penduduk majoriti Cina Machap Umbor dan Machap Baru sebagai cara mudah untuk menyampaikan mesej peribadinya kepada pengundi.

Lagu demokrasi

Selain lagu tema peribadi, MCA turut menyediakan lagu tema pilihanraya kecil dalam bahasa Mandarin untuk Lai, dengan liriknya dipinjam daripada sebuah lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi terkenal Taiwan, bertajuk Nao Hai Yao Gen Hao (Hari ini adalah baik tetapi kita mahukan esok yang lebih baik).

Sementara itu, DAP juga mempunyai lagu tema bertajuk Jian Chi , yang bermaksud "Desakan", bagi calonnya Liou Chen Kuang.

Lagu itu berasal daripada sebuah lagu popular siri drama Hokkien yang sedang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen satelit.

"Lagu ini sesuai dengan kami kerana kami memperjuangkan demokrasi bagi Machap. Ia menunjukkan kehendak kami untuk mewujudkan demokrasi lebih baik untuk rakyat," kata Liou, 33, berketurunan Hainan yang berasal dari bandar Melaka.

Pengundian ditetapkan pada 12 April. Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, pada 15 Mac.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In