Seruan agar sektor swasta "membantu" ahli parlimen membangunkan kawasan mereka akan menjejaskan usaha untuk menghapuskan politik wang di negara ini, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center).

C4 Center merujuk kepada seruan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selepas peruntukan pembangunan untuk ahli parlimen dikurangkan.

“Apabila merujuk kepada idea perniagaan 'membantu' ahli parlimen di kawasan mereka, perlu ada penjelasan dan peringatan kepada semua pegawai awam dalam ucapan dan tindakan mereka supaya tidak menimbulkan sebarang peluang untuk 'hubungan peribadi' dijalin antara ahli politik dan ahli perniagaan, kecuali untuk tujuan penglibatan formal dalam usaha berkaitan dasar yang dibuka kepada penyertaan dan penelitian awam,” katanya.

“Kenyataan menteri itu mudah disalah tafsir dan membawa kepada akibat yang serius, mempertaruhkan perhubungan politik-perniagaan.

“Amalan buruk mencari naungan politik telah berakar umbi dalam ekonomi politik Malaysia,” katanya.

Fahmi sebelum ini berkata menyeru setiap ahli parlimen mengamalkan sikap berhemah selain memaksimumkan segala sumber yang ada untuk menyantuni keperluan rakyat di kawasan masing-masing susulan pengurangan peruntukan kerajaan kepada mereka.

Fahmi berkata antaranya ahli parlimen boleh berusaha mendapatkan bantuan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada rakan-rakan korporat mereka.

C4 Center menambah bahawa sejarah Malaysia telah menunjukkan bagaimana hubungan peribadi antara ahli politik dan taikun mega secara tertutup boleh membawa kepada kronisme dalam usaha mendapatkan kontrak kerajaan.

“Salah satu contoh senario ‘politik wang’ melibatkan kes mahkamah berprofil tinggi yang sedang berjalan iaitu Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang mengaku membayar puluhan juta ringgit kepada hampir sedozen ahli politik kononnya sebagai ‘derma politik’.

“Sehingga kini, banyak persoalan masih belum terjawab; apa yang berlaku kepada berjuta-juta wang yang didermakan kepada ahli politik itu?

“Dari manakah wang itu datang, walaupun prestasi kewangan syarikat itu lemah dari 2015 hingga 2020?” soalnya.

C4 juga berkata ketika negara mula menerima usaha reformasi dengan harapan untuk menghapuskan rasuah dan budaya politik wang, hubungan antara wakil rakyat dan komuniti perniagaan perlu dijalin dengan berhati-hati.

“Memandangkan perkara ini, adalah menjadi keutamaan C4 Center bersama-sama pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang lain untuk membendung budaya ‘politik wang’ yang berleluasa,” katanya.

Ia juga menggesa pembentangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik dan Akta Pengisytiharan Aset disegerakan dan dijadikan agenda reformasi besar di bawah pentadbiran semasa.

Sementara itu, Pusat C4 turut bersetuju dengan langkah kerajaan mengurangkan dana pembangunan kawasan pilihan raya.

Ia menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk menggalakkan ahli parlimen dan pengundi melaras semula pemikiran mereka ke arah penggubalan dasar, tadbir urus dan pengurusan dana yang berkesan.

“Walaupun dana pembangunan kawasan pilihan raya mewakili mekanisme yang sah untuk pembangunan dan alat penting untuk penglibatan ahli parlimen dalam pembangunan masyarakat akar umbi, peranan utama ahli parlimen adalah sebagai penggubal dasar dan penggubal undang-undang, tidak menghabiskan sebahagian besar masa mereka untuk menampal lubang jalan dan lain-lain tugas-tugas kecil yang harus tetap menjadi tanggungjawab majlis tempatan dan kementerian yang berkaitan," katanya.

C4 Center berkata peruntukan yang diberikan kepada ahli parlimen harus digunakan untuk penyelidikan, kakitangan, advokasi, dan sesi dewan bandar untuk menjana penyertaan orang ramai dalam isu dasar.

Oleh itu, ia menekankan kepentingan untuk memperkasa dan menggalakkan majlis tempatan dan kerajaan negeri memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pembangunan kawasan setempat dan memaksimumkan apa-apa jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada pengundi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan elaun pembangunan ahli parlimen telah dikurangkan kepada RM1.3 juta daripada RM3.8 juta.

Menurut Anwar, langkah ini bertujuan untuk mengawal kewangan negara dengan lebih baik dan akan dilaksanakan secara berperingkat.