Adun Ijok meninggal dunia
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Datuk S Sivalingam meninggal dunia akibat sakit jantung di Chennai, India, hari ini.
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Datuk S Sivalingam meninggal dunia akibat sakit jantung di Chennai, India, hari ini.
Sivalingam yang berusia 59 tahun, mempunyai sejarah sakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 1992. Pada 4 Mac 1998, mendiang dimasukkan ke Institut Jantung Negara selepas mengadu sakit dada.
Mediang meninggalkan isteri Datin P Nallamah, 58, serta empat anak
perempuan - Kanmani, 33; Vanitha, 32; Pathma, 22 dan Sithra, 20, serta dua
anak lelaki Saravanan, 24, dan Parthiban, 18.
Menurut anggota keluarganya, Sivalingam meninggal dunia di Lapangan Terbang Chennai seltibanya dari Kuala Lumpur pada jam 10.40 pagi waktu di India (1.10 petang waktu Malaysia). Chennai terletak dalam Tamil Nadu, di selatan India.
Bernama memetik pegawai pejabat Pesuruhjaya Malaysia di Chennai sebagai berkata, Sivalingam trebah ketika berada di lapangan terbang itu dan dikejar ke hospital berhampiran.
Mendiang bersama anak perempuan dan menantunya tiba di Chennai untuk bercuti di selatan India.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkata, pilihanraya kecil akan diadakan di Ijok.
Mendiang mewakili kawasan pilihanraya Ijok selama tiga penggal. Sivalingam juga merupakan Timbalan Pengerusi MIC Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpaduan dan Pekerja Ladang Selangor.
Kerusi majoriti Melayu
Sivalingam memenangi kerusi Ijok bagi penggal ketika selepas menewaskan calon Keadilan, Abdul Rahman Moharam dengan majoriti 1,649 undi
Ijok merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu (50.6%), India(28%) dan pengundi Cina(20.9%).
Sivalingam mula terpilih sebagai Adun 1990 selepas memenangi kerusi Seri Cahaya di Selangor.
Pada 1995, mendiang bertanding di DUN Ijok, sebuah kerusi baru, dan menang selesa dengan menewaskan calon DAP. Mendiang berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada 1999, sekali lagi dengan menewaskan calon DAP.
Sivalingam dilantik sebagai ahli exco kerajaan negeri pada 1997
Pada tahun 2004, beliau sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi tersebut dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Keadilan dan seorang calon bebas.
P'raya kecil
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai berkata pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok perlu diadakan kerana DUN Selangor mula bersidang pada 13 April 2004 dan belum mencapai usia tiga tahun.
Katanya, ini selaras dengan Perlembagaan Selangor bahawa pilihanraya kecil adalah mandatori apabila berlaku kekosongan dalam tempoh dewan itu belum mencapai usia tiga tahun.
Abdul Rashid berkata, beliau sudah meminta pegawai SPR mengaturkan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Ijok itu.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Tan Sri Onn Ismail berkata beliau sudah memaklumkan kepada SPR mengenai kematian Sivalingam.

