Pada 1999, ketika berucap kepada sekumpulan pelajar Malaysia di Wales, Nurul Izzah Anwar ditanya sama ada dia berminat untuk menjadi seorang ahli politik.

"Saya akan putuskan bila tiba masanya," begitulah jawapannya ketika itu. Dan masa itu tiba lapan tahun kemudiannya.

Hampir satu dekad yang lalu, dia terbabit sebagai aktivis politik pada usia yang masih muda dengan matlamat utamanya ketika itu untuk membebaskan bapanya daripada penjara selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Hari ini, Nurul Izzah yang digelar sebagai 'Puteri Reformasi' sudah bersedia untuk mengukir tempat di persada politik tanahair.

Dalam temubual selama 90 minit dengan malaysiakini di pejabat baru Anwar di Petaling Jaya, di mana dia bertugas sebagai penyelaras politik bapanya, Nurul Izzah, 26, mengumumkan kesediaannya bertanding kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

"Jika diberi peluang, pasti (saya akan berbuat demikian). Ia mungkin bukan satu keputusan yang mudah, tetapi saya tidak mahu kehidupan berlalu penuh dengan kekecewaan," katanya.

Nurul Izzah menambah, beliau akan menyertai bahagian Parti Keadilan Rakyat di Wilayah Persekutuan serta menyuarakan kesediaannya untuk memegang jawatan ketua Angkatan Mudanya.

Bagaimanapun, aspirasi politiknya itu perlu mengambil kira satu faktor dia telah berbadan dua.

Nurul Izzah yang mendirikan rumahtangga dengan seorang jurutera, Raja Ahmad Shahrir Iskandar pada 2003, sedang menungguh kedatangan cahayamata pertama mereka yang dijangka pada hujung tahun ini. Menurut spekulasi, pilihanraya umum mungkin diadakan seawal tahun tahun ini.

Nurul Izzah adalah anak sulung Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, daripada enam adik beradik.

Katanya, keluarga dan suaminya turut menyokong keputusannya untuk melangkah ke persada politik tanahair.

Ini bukan pertama kali Nurul Izzah merancang menyertai arena politik. Pada pilihanraya umumn 2004, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk bertanding kerana sekatan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Ketika itu, Nurul Izzah sedang menghadapi peperiksaan akhir dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik di Universiti Tenaga Nasional.

Kesedaran politik

Kenangan ketika tahun-tahun reformasi masih segar di ingatannya di mana tercetusnya demonstrasi jalanan selepas Anwar dipecat dan ditangkap, didakwa, disabitkan dan dihukum penjara atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat.

Anwar bagaimanapun menegaskan tuduhan terhadapnya itu bermotifkan politik. Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan rayuannya terhadap sabitan hukuman liwat akhirnya diterima, dan beliau dibebaskan.

Nurul Izzah ketika itu berusia 18 tahun merantau ke banyak negara, sama ada bersendirian atau bersama ibunya untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa bagi membebaskan bapanya.

Walaupun masih muda, dia telah berucap di banyak demonstrasi di Kuala Lumpur dan di tempat-tempat lain sewaktu kemuncak gerakan reformasi.

"(Semua ini) adalah (sebahagian) daripada kesedaran politik saya, yang telah membentuk diri saya," katanya sambil menyifatkan saat itu sebagai sangat sibuk dan masa keluarganya berada dalam keadaan 'huru-hara'.

Bagaimanapun, sejak 2005, On Nurul Izzah berkata, dia menghabiskan masa selama 18 bulan di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat untuk menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa.

Secara kebetulan, Anwar juga menjadi fello pelawat di universiti ternama itu sewaktu Nurul Izzah masih belajar di sana.

Menurut Nurul Izzah, pengalaman hidupnya di sana telah membantunya melihatkan sesuatu itu dari pelbagai sudut dan pelbagai cara serta memberi nafas baru kepadanya.

Nurul Izzah juga mengikuti kelas Mandarin dan dia kini boleh bertutur dalam bahasa yang mudah. Contohnya, dia menyambutkan ketibaan wartawan malaysiakini dengan ucapan "huan yin, huan yin" (selamat datang, selamat datang).

Sepanjang temubual tersebut, Nurul Izzah sentiasa riang, mengukir senyuman dan pintar menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Dalam bahagian kedua esok, Nurul Izzah berkongsi perasaannya dalam menunggu kehadiran cahayamata pertamanya dan pengalaman dalam kehidupan berkeluarga, serta komen mengenai desas-desus Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pernah pernah cuba 'memancingnya'. Berita asal

Q&A: Let me come into the struggle fresh