Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tumpuan SPRM kes skala besar, bukan lagi bilis - PM
Diterbitkan:  Feb 14, 2023 12:29 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, berkata sasaran utama SPRM ketika ini adalah kepada kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat dan tidak lagi hanya kepada kes kecil.

Selain itu, katanya, SPRM akan melaksanakan siasatan dan pencegahan yang berkesan, yang pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat, dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

“Kerana kalau dulu terlalu banyak masa dan tenaga tumpu untuk menangkap ikan-ikan bilis ini yang tak akan banyak membantu kerana  rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

“Saya percaya penumpuan kepada kes skala besar yang telah dan sedang dijalankan akan memastikan bahawa rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik bahawa SPRM lebih agresif,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai strategi penambahbaikan untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak yang nyata.

Menurut Anwar antara kes berskala besar yang disiasat ialah skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), sindiket curi elektrik melibatkan lombong bitcoin, tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) dan sindiket pengurangan saman trafik. 

Menjawab soalan tambahan Lo berkenaan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskannya, namun ia masih di peringkat awal kerana beberapa laporan perlu diteliti sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah)

Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung komitmen kerajaan dalam meminda peruntukan berkaitan perlindungan pemberi maklumat yang harus dilaksanakan segera seperti disyor Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini, perdana menteri berkata, kerajaan sedang meneliti peruntukan undang-undang berkaitan.

Menurut Anwar, ini  bagi memperketat perlindungan terhadap pemberi maklumat yang melaporkan mengenai rasuah dan kesalahan tatakelola.

Katanya, perkara itu merupakan antara fokus utamanya kerana terdapat ramai pemberi maklumat termasuk penjawat awam berasa tidak selamat untuk melaporkan kes-kes berkenaan kerana mendapat tekanan.

“Cuma ada pandangan daripada pihak perundangan yang menyatakan ini bukan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu ataupun fitnah.

“Jadi dibedakan dengan usaha memberikan fakta dan saya setuju dengan gesaan, dan ini akan kita bentangkan, selewat-lewatnya diharap dalam sesi (Parlimen) akan datang,” katanya.

Lihat Komen
ADS