Saksi: Bapa, adik bekas MP Labuan - pemegang saham terendah LLPM
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bapa dan adik lelaki bekas ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli adalah pemegang saham terendah dalam Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).
Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Adlin Shahira Mohd Roslan, berkata demikian ketika memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah terhadap Rozman.
Rozman, 57, didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan untuk kontrak pekerjaan - iaitu untuk LLPM dilantik sebagai pengendali sementara Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan yang bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Rafique Rashid Ali pagi ini, Adlin selaku saksi pendakwaan ke-22 berkata bapa dan adik Rozman - Isli Siput @ Ali dan Tony Noolan S Isli - secara kolektif hanya memegang 62,500 saham daripada jumlah tiga juta saham dalam LLPM.
Selebihnya saham berkenaan dimiliki oleh individu dan syarikat berikut: Mohd Alias Abd Rahman (1,350,000 unit), Tunas Rakyat Sdn Bhd (737,500 unit), Norsiah Abdullah (300,000 unit), Halizah Ramlee @ Halizah Ramli (200,000 unit), DPL Corporation Berhad (200,000 unit), dan Rokiah Ibrahim (150,000 unit).
Merujuk kepada pemfailan pulangan tahunan LLPM dari 2017 hingga 2020, Adlin berkata Isli dan Tony masing-masing hanya mempunyai 31,250 unit saham.
Rafique: Jika kita lihat kenyataan saksi kamu, adakah kamu bersetuju bahawa kedua-dua Isli dan Tony adalah pemegang saham terkecil dalam LLPM?
Adlin: Saya setuju.
Rafique: Mereka masing-masing hanya memegang 1.04 peratus pegangan saham daripada jumlah tiga juta saham?
Adlin: Saya setuju.
Sebelum ini, saksi ketujuh pendakwaan, pengurus keselamatan LLPM Mohamad Kasli Sulaiman Darja, memberi keterangan bahawa Rozman tidak mendedahkan pegangan saham bapa dan adiknya.
Prosiding sebelum ini turut menyaksikan saksi pendakwaan ke-13, bekas ahli lembaga LPA Simsudin Sidek, memberi keterangan lisan bahawa dia tidak tahu Rozman mempunyai kepentingan dalam LLPM.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/88ffc7aeec9d1b34c2f521ef5150d03d.jpg)


