Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan aktivis berkerusi roda Anthony Thanasayan meninggal dunia hari ini akibat jangkitan paru-paru.

Selain menjadi ahli majlis kerajaan tempatan yang pertama berkerusi roda, dia turut dikenali sebagai individu yang lantang memperjuangkan isu berkaitan orang kurang upaya (OKU) dan hak haiwan.

Dia menjadi anggota MBPJ untuk penggal 2008 dan 2013.

Dalam satu kenyataan petang tadi, Ahli Majlis MBPJ Derek Fernandez menyifatkan Thanasayan - yang dikenalinya sejak 2008 - sebagai seorang pejuang.

"Disebabkan keazamannya yang ingin membuat keadaan lebih baik untuk golongan kurang upaya, banyak dasar dalam MBPJ berkaitan reka bentuk penggunaan awam, tempat letak kereta dan kemudahan OKU hari ini adalah disebabkan perjuangannya.

"Thanasayan mengajar saya untuk melihat sesuatu secara berbeza dan saya rasa sangat bersyukur.

"Dia menyedarkan saya bahawa setiap daripada kita akan hilang upaya suatu hari nanti, ada yang lebih daripada yang lain tetapi kita semua akan hilang upaya suatu hari nanti.

"Penuaan adalah ketidakupayaan dan OKU tidak sepatutnya disembunyikan tetapi mereka berhak menjalani hari-hari mereka di bawah sinar matahari seperti orang lain," kata Derek.

Thanasayan, 63, dilahirkan dengan spina bifida dan menjadi pengasas kumpulan Pet Positive yang menyokong hak haiwan kerana peranan mereka membantu kehidupan.

Dia juga sering menjadi penyumbang kepada pelbagai organisasi berita yang mendokumentasikan cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU dalam menjalani kehidupan bermaruah.