Kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan untuk menangguhkan keputusan rasmi pilihan raya selama 13 hari bagi menunggu ketibaan undi pos.

Timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh berkata cadangan itu “tidak sesuai” kerana kaedah pelaksanaan pilihan raya sedia ada negara ini masih relevan.

Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor) mengulas soalan Khoo Poay Tiong (Harapan-Kota Melaka) dalam kamar khas, sama ada kerajaan akan mencontohi Australia dengan mengumumkan keputusan pilihan raya 13 hari selepas mengundi.

Khoo berkata banyak undi pos daripada luar negara tidak tiba pada masanya semasa pilihan raya 19 November tahun lalu, menyebabkan pemilih hilang haknya.

Ramkarpal Singh

Khoo juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pilihan lain seperti membenarkan pengundi luar mengundi di kedutaan.

Sekarang ini, undi pos harus dikembalikan kepada pegawai pilihan raya sebelum pengundian ditutup, kebiasaan pada jam enam petang.

Pengiraan akan dijalankan terus selepas itu.

Ramkarpal berkata SPR pernah melaksanakan undi pos ke pejabat-pejabat kedutaan semasa pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

Bagaimanapun, katanya, hasilnya tidak memberangsangkan.

“Namun, sesetengah orang tidak dapat hadir ke pejabat kedutaan kerana jarak tempat tinggal mereka yang jauh. 

“Terdapat beberapa isu lain yang menyebabkan SPR menetapkan bahawa undi pos akan dihantar terus ke tempat mengundi di PRU14 dan ditukar kepada undi pos dalam PRU15,” katanya.

Dalam pilihan raya umum ke-14, pengundi berdepan masalah memulangkan kertas undi tepat pada masanya memandangkan ia hanya dikeluarkan 11 hari sebelum.

Masalah itu turut berlaku dalam pilihan raya negeri Johor apabila terdapat pemilih menerima kertas undi pada hari mengundi. 

Malah ada yang tidak menerimanya langsung.

[Baca berita asal]