Presiden Persatuan Pustakawan Amerika kunjungi Perpustakaan Negara
Ketika dunia menuju ke arah pendigitalan menyeluruh, peranan perpustakaan sebagai hab maklumat, pengetahuan dan penyimpanan dokumen sejarah akan kekal relevan seperti sebelum ini.
Presiden Dipilih Persatuan Pustakawan Amerika (ALA) Emily Drabinski berkata prospek optimis terhadap institusi awam itu berpunca daripada kekurangan penyedia dalam talian yang boleh menyumbang kepada penggunanya yang merupakan faktor manusia.
Beliau berpendapat perpustakaan masih mengekalkan peranannya dalam menyediakan bukan sahaja maklumat tetapi akses kepada teknologi dalam komuniti di samping menekankan ruang yang disediakan oleh perpustakaan untuk interaksi sosial fizikal.
“Kami akan sentiasa (menawarkan khidmat) di sini apabila teknologi gagal. Kami lihat terdapat banyak maklumat buruk yang tersedia dengan mudah di Internet tetapi perpustakaan mengambil serius mengenai peranan untuk menyediakan maklumat dan memastikan kami memilih dan mendapat maklumat yang berkualiti untuk komuniti kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri majlis Diskusi Panel Peranan Perpustakaan Sebagai Penyambung Komuniti dari Perspektif Amerika Syarikat dan Malaysia dan membuat kunjungan hormat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia Dr Ghazali Mohamed Fadzil berkata perpustakaan terutamanya di kawasan luar bandar boleh berperanan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah sosial dalam komuniti dan membantu membina masyarakat yang lebih baik iaitu moden dan berpendidikan.
“Perpustakaan yang berjaya adalah mengenai semangat di setiap peringkat pengurusannya, bukan sahaja semangat untuk bekerja tetapi juga semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sekiranya mereka (pustakawan) bersemangat untuk memberikan perkhidmatan, mereka akan bekerja bersungguh-sungguh dan mengetepikan segala halangan.
“Saya telah melihat banyak perkara positif apabila pustakawan bersemangat. Bayangkan jika mereka bersemangat diiringi pula dengan perkara lain secara kolaboratif, semua itu akan menjadi indah dan kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/2db69e2b48e0c87567f8d405f2186c33.jpg)
