Hamzah gagal ujian dari Agong, dakwa Kit Siang
Lim Kit Siang mendakwa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin "gagal" dalam ujian Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan harapannya untuk melihat politik negara stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut veteran DAP itu, Hamzah sekurang-kurangnya patut memberikan penegasan jelas bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri terakhir yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum penggal pemerintahan baginda berakhir pada Jan 2024.
"(Ia) memandangkan baginda sudah pun dicatatkan dalam sejarah sebagai mempunyai empat orang perdana menteri sepanjang tempoh pemerintahannya.
"Selain daripada Agong ke-16, tidak ada mana-mana Yang di-Pertuan Agong lain yang perlu bekerja dengan lebih daripada dua orang perdana menteri.
"Adakah akan ada perdana menteri kelima untuk Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum tamat penggal pemerintahan baginda pada tahun hadapan?" soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Lim berkata demikian sebagai merujuk ucapan Hamzah ketika perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Anwar merupakan perdana menteri yang terakhir sebelum baginda mengakhiri tempoh khidmat tahun hadapan.
Berucap di istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 semalam, baginda sempat menyorot kemelut politik yang berlaku sepanjang pemerintahannya.
Kemelut itu, titah baginda, menyaksikan negara ini mendapat empat perdana menteri yang berbeza.
"Secara ikhlas, beta berharap perdana menteri ke-10 adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri beta Pahang Darul Makmur,” titah baginda disambut dengan ketawa sebahagian daripada ahli parlimen.
Kena rujuk terlebih dulu
Agong juga menyatakan harapan agar semua pihak dapat menerima keputusan PRU lalu dengan hati terbuka.
Untuk rekod Malaysia mencatat sejarah tersendiri apabila kerajaan yang mendapat mandat rakyat melalui PRU ke-14 pada 2018 dijatuhkan melalui gerakan dibuat sekumpulan ahli parlimen termasuk dari parti pemerintah.
Selepas berlakunya Langkah Sheraton pada akhir Feb 2020, politik terus dibayangi ketidaktentuan sehinggalah parlimen dibubarkan pada Okt tahun lalu.
Lim yang juga bekas pengerusi DAP berkata, perkara paling besar dapat dibuat oleh Hamzah sebagai pemimpin pembangkang ialah dengan memberikan jaminan di parlimen bahawa tidak akan ada pertukaran perdana menteri untuk lima tahun akan datang.
Bagaimanapun tegasnya, setiausaha agung PN itu gagal untuk melepasi ujian - besar atau kecil - daripada Agong sebaliknya hanya dapat memberikan kenyataan samar-samar mengenai peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang.
"Namun, perkara ini boleh difahami memandangkan Hamzah tidak memegang kuasa sebenar dalam PN, sebaliknya ia ada pada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
"Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, kita ada ketua pembangkang yang lemah di Parlimen.
"Hamzah patut merujuk kepada Muhyiddin dan Abdul Hadi untuk mendapatkan persetujuan mereka bagi melepasi ujian yang diberikan oleh Agong," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/8dd9ab59c3f7237654c9f87299cb9393.jpg)
