PM isytihar perangi jenayah seperti zaman komunis
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memerangi penjenayah dan pengganas "secara habis-habisan" untuk memelihara keamanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memerangi penjenayah dan pengganas "secara habis-habisan" untuk memelihara keamanan negara.
Beliau mahu pihak polis memerangi penjenayah dan pengganas dengan melancarkan peperangan sepertimana ketika zaman penentangan komunis, demikian menurut laporan Bernama
Abdullah berkata, kumpulan penjenayah dan pengganas perlu diperangi dengan apa jua cara sekalipun bagi melenyapkan ancaman mereka, kerana kehadiran mereka boleh menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi dan politik negara.
"Saya gunakan perkataan peperangan kerana mereka ini adalah musuh negara yang bahaya kepada negara dan rakyat.
"Kalau setiap anggota dan pegawai PDRM mempunyai semangat kental dan cekal seperti yang dimiliki oleh anggota polis ketika zaman komunis, pasti usaha melumpuhkan pengganas dan penjenayah akan tercapai," katanya.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menegaskan demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Khas Sambutan 200 Tahun Pasukan PDRM di Pusat Latihan Polis, (Pulapol) di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri berkata, tiada kompromi dibuat bagi menghapuskan sebarang perlakuan pengganas atau penjenayah dan sehubungan itu polis diminta supaya bersedia menghadapi apa jua cabaran bagi mencapai matlamat itu.

