PARLIMEN l Selepas tiga bulan berkuasa, kerajaan gagal memperkenalkan rancangan konkrit dan komprehensif untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat, dakwa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, presiden Bersatu itu membidas dan mempersendakan Anwar Ibrahim yang didakwa memperkenalkan dasar yang membenarkan menteri untuk mengambil anak mereka dengan melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan, perdana menteri.

“Untuk apa dasar ini diperkenalkan? Ia tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini.

“Rakyat bukan nak lihat anak menteri, anak perdana menteri, memegang jawatan dalam kerajaan. Mereka nak lihat menteri dan perdana menteri buat kerja untuk rakyat,” katanya semasa usul menjunjung kasih dan perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional-Pagoh)

Muhyiddin (Perikatan Nasional-Pagoh) juga mengimbau kenyataan Anwar sebelum ini bahawa kerajaan akan mendedahkan langkah komprehensif untuk menangani kos sara hidup dalam tempoh dua minggu selepas memegang jawatan.

“Yang rakyat harapkan ialah tindakan-tindakan kerajaan sama ada dari segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah,” katanya.

Contoh yang diberikan Muhyiddin adalah gesaan rakyat baru-baru ini supaya kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Anwar sebelum ini mengesahkan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran, dengan menyatakan bahawa ia akan memberi kesan negatif kepada pencarum yang akan bersara tidak lama lagi.

Perdana Menteri sebaliknya memberi jaminan bahawa Putrajaya sedang mencari cara lain untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan hidup mereka selepas bersara.

Bagaimanapun, Muhyiddin berpendapat kerajaan perlu mempertimbangkannya kerana ia adalah kehendak rakyat.

“Apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

“Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

“Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya.

Semasa pentadbiran Muhyiddin, kerajaan membenarkan beberapa pusingan pengeluaran KWSP semasa kemuncak pandemik Covid-19, dengan gabungannya juga menjanjikan orang ramai bahawa mereka akan melihat satu lagi pusingan pengeluaran yang disasarkan jika PN memenangi PRU15.