PAS Sgor bermesyuarat tentang praya kecil Ijok
PAS Selangor akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi hari ini untuk membincangkan mengenai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
PAS Selangor akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi hari ini untuk membincangkan mengenai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Mesyuarat tersebut akan disusuli dengan mesyuarat bersama peringkat tertinggi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Kerusi DUN Ijok menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional, Datuk K Sivalingam di Chennai, India semalam.
Sehubungan itu, kata Roslan, PAS merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga mendiang yang juga exco kerajaan negeri Selangor.
Semalam, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilaporkan berkata pilihanraya kecil DUN Ijok akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Dalam kenyataannya, Roslan berkata, sebarang ketetapan dan keputusan mengenai pilihanraya kecil Ijok akan dirujuk kepada pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Ia bagi memutuskan secara muktamad sikap dan keputusan PAS dan PKR terhadap pilihanraya kecil tersebut, katanya.
Dalam pilihanraya umum 2004, calon PKR dengan bantuan PAS cuma tewas dengan majoriti 1,649 undi, iaitu salah satu majoriti terendah di Selangor dalam pilihanraya tersebut.
Sementara itu, katanya, jentera pilihanraya PAS kawasan Kuala Selangor telahpun dikerahkan bersiap-sedia menerima apa sahaja arahan dari peringkat tertinggi parti.

