Adun Kunak cabar Shafie adukan dakwaan 'dibeli' ke SPRM
Adukan secara rasmi kepada pihak berkuasa - itu cabaran dibuat Adun Kunak, Norazlinah Arif, kepada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, selepas dia didakwa 'dibeli' untuk meninggalkan parti berkenaan baru-baru ini.
Kata Norazlinah dia meninggalkan Warisan kerana melihat hala tuju parti berkenaan tidak lagi menepati perjuangannya dan ia dibuat dengan kerelaan sendiri.
"Jika ada bukti, dilaporkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ),” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Menurut Adun yang sudah memenangi kerusi Kunak selama dua penggal itu, sejak akhir- akhir ini Warisan enggan menyatakan sokongan kepada kerajaan seperti pernah diikrarkan mereka semasa PRU ke-15 lalu.
Keadaan itu, tambahnya, menyebabkan berlaku pergolakan politik yang hanya merugikan Sabah.
"Polemik politik perlu ditamatkan agar semua Adun diberi peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing," katanya lagi.
Pada 6 Feb lalu Norazlinah mengumumkan keputusannya untuk keluar dari Warisan dan memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sebagai Adun bebas.

Menyertai Norazlinah meninggalkan Warisan ialah Adun Banggi Mohammad Mohamarin dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Semalam Mohd Shafie memberitahu ketiga-tiga Adun terbabit 'dibeli' oleh pihak luar untuk menyokong Hajiji.
Kata bekas ketua menteri Sabah itu dia mendapati Adun terbabit meninggalkan Warisan selepas dia pulang dari Mekah kerana mengerjakan umrah.
Pada 6 Jan pula, BN Sabah mengumumkan keputusan mereka menarik balik sokongan kepada Hajiji untuk berkhidmat sebagai ketua menteri dalam tindakan yang dilihat cuba menjatuhkan Hajiji.
Sehari sebelum itu, Warisan sepatutnya mengadakan sidang media mengejut namun ia dibatalkan pada saat-saat akhir, sekali gus dianggap ia ada kaitan dengan langkah diambil BN Sabah.
Menurut Norazlinah jika ada pihak menganggap mereka dibeli, ia wajar dirujuk kepada pihak berkuasa dan membiarkan siasatan dijalankan dengan bebas.
"Jangan heret Adun serta parti ke kancah perebutan kuasa," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/b5dc7cc5a0d5f866f637139fced11116.jpg)
