Pengalaman berdepan dengan kekangan dana pada PRU ke-14 akan membantu 'aset' buat Bersatu menghadapi cabaran dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata timbalan pengerusinya Ahmad Faizal Azumu.

Malah bekas menteri belia dan sukan itu meletakkan keyakinan bahawa dalam keadaan akaun parti dibekukan sekarang, mereka mampu memenangi banyak kerusi termasuk di Selangor.

Kata Ahmad Faizal akaun Bersatu sudah dibekukan pihak berkuasa selama lebih sebulan dan ia memang memberi kesan termasuk untuk membayar gaji kakitangannya.

Ia juga kata Ahmad Faizal menyulitkan PN bergerak dengan lebih berkesan bagi menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Pun begitu dia yakin PN akan menggunakan "kekuatan sedia ada" bagi memberikan cabaran kepada parti kerajaan.

"Namun pengajaran semasa PRU ke-14 memberi banyak pengalaman kepada kami untuk menggunakan kekuatan sedia ada.

"Bayangkan pada ketika itu, kami cat sendiri bendera Bersatu, tetapi kami mampu menang dan membentuk kerajaan.

"Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU ke-15, insya-Allah kami boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor," katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Tuduhan berubah-ubah

Untuk rekod Bersatu merupakan salah satu parti komponen PH ketika negara memasuki PRU ke-14 pada 2018. Gabungan itu kemudian memperoleh majoriti di Dewan Rakyat seterusnya membentuk kerajaan pusat serta di kebanyakan negeri.

Bagaimanapun pada penghujung Feb 2020 Bersatu - bersama 11 ahli parlimen PKR - meninggalkan PH sehingga menyebabkan gabungan berkenaan dijatuhkan.

Parti itu dianggap menjadi 'tulang belakang' kepada Langkah Sheraton.

Bersatu kemudian menjadi kerajaan sekali lagi - kali ini dengan sokongan BN dan PAS. Ia menyaksikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri dan PN dibentuk.

PN menguasai Putrajaya selama 17 bulan sebelum Muhyiddin dijatuhkan dan diganti oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Pada PRU ke-15 tahun lalu, Bersatu dan PN berjaya merampas mentadbiran kerajaan Perlis daripada BN.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Feb lalu mengesahkan mereka membekukan akaun Bersatu sebagai langkah menyiasat dana parti terbabit mengikut siasatan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Bersatu sudah menafikan mereka terbabit melakukan sebarang penyelewengan atau salah guna kuaasa.

Ahmad Faizal berkata penegasan Muhyiddin sewaktu membahas titah Yang di-Pertuan Agong di parlimen semalam merupakan mesej jelas kepada umum bahawa segala tuduhan disasarkan kepada mereka adalah fitnah.

Menurutnya, Muhyiddin juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa dia tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk kepentingan keluarganya.

“Ini satu mesej yang rakyat perlu lihat, bahawa penafian Presiden Bersatu ini merupakan satu tuduhan bukan-bukan.

“Sekejap tuduh seleweng RM600 bilion. Lepas itu tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta pula," katanya dipetik sebagai berkata.