Kerajaan digesa untuk menyiasat perjanjian kontrak sebuah syarikat yang membekalkan ventilator rosak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara 2020 dan 2022.

Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata tindakan mesti diambil kerana ventilator adalah alat penting untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.

"Sekiranya terbukti ada unsur kecuaian, tindakan perlu diambil dan pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan kerana mereka secara langsung akan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit terutama semasa pandemik," katanya.

Yii - yang merupakan seorang doktor dan peguam terlatih - berkata walaupun ventilator itu diperoleh ketika darurat, kekurangan dokumentasi perolehan mengenainya masih perlu disiasat.

Katanya dokumentasi akan memberikan perlindungan undang-undang yang lebih baik kepada KKM dan akan menetapkan liabiliti pihak yang terlibat.

"Pihak yang terbabit kena jawab dan bertanggungjawab. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau dibiar begitu sahaja," katanya.

Sebelum ini, siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021 menyatakan kerajaan mengalami kerugian lebih RM13 juta selepas 108 daripada 136 mesin ventilator baru yang ditempah pada 2020 tidak dapat digunakan oleh KKM.

Secara keseluruhan, laporan Jabatan Audit Negara (JAN) yang dinamakan sebagai 260790-T memberitahu bahawa kerajaan membayar RM24.07 juta untuk 136 ventilator.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia menamakan syarikat 260790-T sebagai Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd - anak syarikat Pharmaniaga Bhd - yang dikawal oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Bhd.

Menurut laporan JAN itu kabinet pada 25 Mac 2020 bersetuju memperuntukkan RM20.1 juta bagi pembelian ventilator di bawah dana darurat.

Menjelang 1 Sept 2020, kosnya meningkat kepada RM24.07 juta.

Daripada 108 unit yang rosak, hanya 15 boleh dikembalikan kepada pengilang manakala pampasan berjumlah RM13.07 juta untuk 93 unit yang lain tidak dapat dituntut kerana kekurangan dokumentasi perolehan.

"Tiada dokumen berkaitan urus niaga perolehan ventilator diserahkan kepada juruaudit, yang juga tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab syarikat 260790-T sebagai syarikat yang menguruskan perolehan ventilator dan yang berurusan dengan pengeluar.

"Berdasarkan pengiraan JAN, jumlah kerugian daripada 93 ventilator yang tidak dapat digunakan (tolak 15 yang sedang diganti oleh pengilang) ialah RM13.07 juta," kata laporan itu.

[Baca berita asal]