Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi jaminan Menu Rahmah yang diperkenalkan lebih 30 pekedai di negeri tersebut adalah berkualiti.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata pada dasarnya Menu Rahmah yang dijual di premis-premis yang terlibat adalah sama seperti sebelum inisiatif itu diperkenalkan.

"Untuk konteks kualiti (Menu Rahmah) sebenarnya benda yang sama kita makan contohnya nasi campur cuma (pekedai) tawar pada harga Menu Rahmah, kualiti tidak ada perbezaan.

"Dari segi kebersihan dan kualiti ia disahkan bahagian-bahgian berkenaan seperti pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu tugasan mereka untuk pastikan dari segi kesihatan dan keselamatan terjamin," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi tinjauan mesra Menu Rahmah di Ayang Kafe, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata 31 pekedai di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat telah berdaftar dengan KPDN Kelantan setakat hari ini untuk memperkenalkan Menu Rahmah.

"Jumlah pekedai yang terlibat memperkenalkan Menu Rahmah paling tinggi direkodkan di Kota Bharu," katanya.

- Bernama