Pelan untuk mewujudkan Zone Akses Bebas (FAZ) yang membenarkan warganegara asing dari Singapura keluar masuk secara bebas ke Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) telah dibatalkan.

Ketika membuat pengumuman tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebagai gantinya, kerajaan, menerusi Jabatan Imigresen, akan memperkenalkan kad pintar yang akan memudahkan proses imigresen antara kedua-dua buah negara.

"Jadi, tidak perlu satu kawasan yang khusus untuk keluar masuk. Perkara ini tidak berbangkit langsung walaupun dalam gambar rajah WPI itu FAZ ada, kita tidak memerlukannya...perkara itu tidak berbangkit lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Ghani juga tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai bila kerajaan membatalkan pelan FAZ itu dan punca pembatalan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perancangan dan Peluang Pelaburan di WPI anjuran Institut Juruukur Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi Kerajaan Negeri.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek (WPI) akan "dimasuki oleh perompak dan penyangak" kerana semua orang dari mana sekalipun boleh masuk ke wilayah tersebut tanpa perlu menggunakan pasport.

WPI adalah kawasan pembangunan seluas 2,200 km persegi di Johor yang membabitkan pelaburan RM47 bilion bagi menjana pertumbuhan dan aktiviti ekonomi antara tahun 2006 dan 2010, serta RM335 bilion lagi dalam tempoh 15 tahun (2011-2025).

Insentif khas

Ketika berucap di majlis forum rakyat mengenai kepimpinan Melayu dalam era globalisasi anjuran Umno cawangan Kulai Besar di Kulai, Johor Khamis lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata: "Siapakah yang akan melabur dan membina bangunan di kawasan itu? Sudah tentu orang Israel kerana mereka ada kedutaan di republik itu (Singapura)".

"Apabila bebas masuk, tidak ada orang periksa, perompak dan penyangak pun bebas masuk (WPI)," kata bekas Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Abdul Ghani, ketika berucap di Persidangan Perancangan dan Peluang Pelaburan di WPI, menjelaskan insentif khas dalam WPI termasuk pengecualian penyertaan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam projek-projek yang diluluskan terhad kepada syarikat-syarikat yang beroperasi dalam kawasan 1,760 hektar dalam dua kawasan yang ditentukan.

Kedua-dua kawasan yang mempunyai insentif WPI itu ialah di Dangga Bay yang mempunyai kawasan 800 hektar dan di kawasan 960 hektar di Nusajaya, katanya.

"Jadi dakwaan yang menyatakan rakyat tempatan "ditelan" oleh orang asing atau menjadi orang asing di negara sendiri tidak timbul. Tidak timbul juga persoalan bahawa orang Melayu Johor dipinggirkan dengan kemasukan

orang asing, khususnya rakyat Singapura.

"Ini ialah kerana WPI akan memberi faedah daripada keburukan kepada rakyat Johor," kata Abdul Ghani.

Abdul Ghani juga berkata WPI bukan merupakan satu lagi pembangunan hartanah yang akan memburukkan masalah lebihan bekalan sedia ada rumah-rumah kediaman dan unit-unit kemersial yang menyebabkan penurunan harga hartanah di Johor Selatan.

Harga hartanah meningkat

"Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan dengan rasmi WPI pada lewat tahun lalu dan pengumuman seterusnya mengenai pakej insentif khas untuk menarik pelabur ke wilayah ini, wujud pergerakan menaik yang besar hartanah di Johor Selatan," katanya.

Setahun lalu, Abdul Ghani berkata, rumah kedai di Danga Bay dijual pada harga RM800,000, tetapi pada minggu lalu, satu unit hartanah sedemikian dijual kepada seorang pembeli Indonesia pada harga RM1.3 juta.

"Di tempat lain di Johor Bahru, sebuah rumah kedai tiga tingkat standard kini boleh dijual pada harga lebih RM900,000 25 peratus lebih daripada harganya 12 bulan lalu," katanya.

Abdul Ghani berkata, hampir kesemua unit komersial yang baru dilancarkan dilihat mendapat jualan kukuh.

Satu transaksi tanah komersial di skim perumahan Bukit Indah SP Setia baru-baru ini dilaporkan dijual pada harga RM65 sekaki persegi berbanding kepada harga sebelum itu sekitar RM30 sekaki persegi, katanya.

Perkara yang sama dilihat berlaku di Ledang Heights di Nusajaya, Leisure Farm, Casa Almyra di Dangga Bay yang kini dijual pada harga yang lebih tinggi, katanya.