Dana asing kembali ke pasaran domestik selepas ekuiti Malaysia menyaksikan belian bersih bernilai RM195.3 juta minggu lepas berbanding jualan bersih RM512.3 juta seminggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Sebelum itu, menurut Laporan Aliran Dana firma penyelidikan itu untuk minggu dagangan berakhir 17 Feb, pelabur asing telah menjual bersih selama lima minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah sehingga RM860.9 juta.

"Pelabur asing mencatatkan belian bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas kecuali pada Jumaat yang menyaksikan aliran keluar RM25.9 juta dan setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual bersih RM593.3 juta," katanya.

Ia berkata jumlah aliran masuk bersih tertinggi pada hari Rabu adalah sebanyak RM103.2 juta, manakala Khamis menyaksikan jumlah aliran kedua tertinggi dengan merekodkan belian bersih RM74.4 juta.

“Sektor-sektor  yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah penjagaan kesihatan RM56.5 juta, pembinaan RM41.6 juta dan perkhidmatan kewangan RM40.2 juta.

“Sementara itu, sektor yang mempamerkan aliran keluar bersih asing ialah perladangan (RM18.8 juta), utiliti (RM12.4 juta) dan hartanah sebanyak RM6.4 juta,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata institusi tempatan telah menjual bersih ekuiti Malaysia bernilai RM140.2 juta selepas belian bersih lima minggu berturut-turut dengan Selasa mencatat aliran masuk bersih RM16.2 juta, manakala minggu selebihnya mencatatkan aliran keluar.

"Aliran keluar paling tinggi dilihat pada hari Rabu merekodkan RM53.2 juta dan institusi tempatan pula telah membeli bersih RM819.8 juta tahun setakat tahun ini," katanya.

Firma penyelidikan itu menambah peruncit tempatan merupakan penjual bersih minggu lepas dengan merekodkan sejumlah RM55.1 juta, perubahan mendadak berbanding RM263.8 juta bersih yang dibeli pada minggu berakhir 10 Feb.

“Hanya Isnin dan Jumaat menyaksikan aliran masuk bersih, masing-masing pada RM7.0 juta dan RM40.1 juta, manakala peruncit tempatan adalah penjual bersih pada RM226.6 juta setakat tahun ini,” katanya.

Dari segi penyertaan, ia berkata terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan (-14.9 peratus), institusi tempatan (-16.0 peratus) dan pelabur asing (-12.3 peratus).

- Bernama