Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak puas hati: 'Cosplay tiada masalah pula'
Diterbitkan:  Feb 20, 2023 12:16 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

PAS Kelantan menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap reaksi kerajaan kepada perarakan menggunakan replika senjata di negeri jirannya Terengganu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, ketika acara PAS dikaitkan dengan kegelisahan masyarakat dan keganasan, acara cosplay yang memaparkan watak anime bersenjata tidak pula menjadi isu.

“Hanya kerana wujudnya unsur keagamaan Islam lalu mahu dikaitkan dengan keganasan.

“Sedangkan perarakan kostum atas Nijigen Expo 2023 pada tarikh sama yang berkesinambungan daripada Comic Fiesta 2022 menggunakan metod costum anime bersenjata diadakan di ibu kota Kuala Lumpur tidak pula digegerkan,” katanya.

Mohamad Kamal Mohamed

Menteri agama Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan perarakan menggunakan simbol pahlawan bersenjata itu memberikan gambaran tidak baik kepada agama dan negara.

Bekas ketua hakim syarie itu berpandangan bahawa program itu sepatutnya menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai serta mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily hari ini, Kamal berkata sejarah ketamadunan Islam dahulu tidak boleh dinafikan sebagaimana perang Tanah Melayu sebelum merdeka.

“Wujudnya peperangan dan pemakaian kostum seumpama itu hanyalah simbol kegemilangan tamadun Islam. 

“Jika orang Melayu berbangga dengan keris dan lembing, sejarah Islam tidak boleh memadamkan peperangan melalui pedang, panah dan kuda,” katanya.

Dia juga menyatakan kesalnya dengan mendakwa “apa sahaja berkait agama Islam akan dimomokkan dengan keganasan”. 

“Inilah bayangan Islamofobia era kerajaan hari ini,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Harun Esa berkata, acara tahunan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) yang menghimpunkan jentera Pemuda PAS diadakan sejak 1991.

Katanya, sudah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan membawa replika pedang dan lembing serta tema perarakan masing-masing.

Polis Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata akan menyiasat perkara itu

Dia juga berkata pihak berkuasa dimaklumkan mengenai perarakan itu tetapi tidak dimaklumkan berkaitan perarakan bersama replika senjata.

Lihat Komen
ADS