Semua rumah ibadat seperti masjid, surau, gereja, tokong dan kuil di Kelantan sudah menikmati bekalan air terawat secara percuma yang ditanggung kerajaan negeri.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Nazmi Ghazali Azmi berkata faedah itu dinikmati oleh 2,507 rumah ibadat kategori tarif E di seluruh Kelantan.

Antara rumah ibadat yang terlibat ialah masjid atau surau di sekolah agama rakyat.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerajaan Kelantan menerusi dalam mesyuarat exco pada 7 Sept tahun lalu yang bersetuju untuk menanggung segala kos berkaitan tarif baru bermula 1 Ogos 2022.

"Subsidi yang diberikan ini membabitkan 2,507 akaun rumah ibadat dan jumlah anggaran subsidi sebanyak RM369,562 setahun ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Pemberian subsidi ini dibuat supaya rumah ibadat dapat kekal menikmati bekalan air terawat secara percuma," katanya dalam kenyataan media hari ini

Tambahnya AKSB sebagai operator bekalan air sentiasa tertakluk untuk mengenakan tarif berdasarkan apa yang diwartakan oleh kerajaan persekutuan

Nazmi berkata, tarif baru diwartakan oleh kerajaan Persekutuan pada 28 Julai dan dikuat kuasa bermula 1 Ogos tahun lalu.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kelantan yang sentiasa prihatin kepada keperluan dan kebajikan rakyat khususnya berkaitan dengan kehidupan beragama.

"AKSB berharap walaupun rumah ibadat tidak perlu membayar bil air, pengguna dan pengurusan rumah ibadat hendaklah menggunakan air dengan cermat dan sentiasa menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.