Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai imigresen, penjara akan pakai kamera badan juga - timbalan menteri

Kementerian Dalam Negeri menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan kamera badan kepada semua ejen penguatkuasa di bawah bidang kuasanya dan bukan hanya untuk polis sahaja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata ini sebahagian usaha meningkatkan integriti pegawai penguatkuasa yang berurusan dengan orang ramai.

Berucap di Dewan Rakyat pagi ini, Shamsul berkata agensi yang dicadangkan kelengkapan kamera badan ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

Mengenai penggunaan kamera badan polis, Shamsul berkata Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis telah menghasilkan prosedur operasi standard dan akan melatih pegawai untuk menggunakan peranti itu tidak lama lagi.

Dia berkata 157 daerah polis di seluruh negara dan 7,648 pegawai telah terlibat dalam proses itu setakat ini.

Bagaimanapun, tidak jelas berapa banyak perolehan kamera yang telah dibuat kerajaan, jika ada.

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahagian perolehan sedang memuktamadkan spesifikasi kamera yang akan dipakai.

Bagaimanapun, dia telah meminta penggunaannya untuk dilaksanakan segera.

Sementara itu, Tan Kar Hing (Pakatan Harapan-Gopeng) mengutarakan soalan tambahan sama ada rakaman kamera badan boleh digunakan di mahkamah atau tidak.

Shamsul kemudian menjawab dengan tegas.

“Semua elemen penting bagi memastikan kredibiliti polis terpelihara,” katanya.

Lihat Komen
ADS