Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan akan meneliti untuk memperluaskan hidangan Menu Rahmah ke kafeteria bangunan Parlimen bagi menyediakan makanan dengan harga berpatutan berbanding harga sedia ada.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, meskipun perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, tetapi dia merasakan ia wajar dilaksanakan.

“Ada beberapa permintaan daripada media contohnya Menu Rahmah dipanjangkan ke Parlimen.

“Jadi saya lihat ada keperluan... saya ingat lagi semasa kita di backbench dan juga di pihak pembangkang, memang rata-rata kalau kita lihat Parlimen sebagai tempat di mana rakyat datang.

“Tapi kalau harga tak mesra rakyat, maka itu satu kesan. Jadi kita akan teliti apa yang boleh kita lakukan untuk sebar luaskan Menu Rahmah ke Parlimen,” katanya pada sidang media di bilik media di Parlimen hari ini, selepas mengadakan lawatan di situ.

Untuk rekod, Riverside Cafe beroperasi di bangunan Parlimen sejak beberapa tahun.

Kafeteria yang sama turut beroperasi di Pusat Dagangan Dunia untuk satu tempoh yang lama.

Harga makanan di kafeteria parlimen dianggap mahal bagi sesetengah pengamal media.

Contohnya sebiji kuih karipap dijual dengan harga RM1 manakala nasi lemak bungkus biasa berharga RM4.

Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

Ia adalah inisiatif yang dipelopori oleh syarikat swasta secara sukarela.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS