Ambil iktibar dari projek lencongan Sungai Gombak
Projek lencongan Sungai Gombak patut dijadikan iktibar untuk mengelakkan lanjutan masa dan pertambahan kos bagi sesuatu projek pada masa depan, kata Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Projek lencongan Sungai Gombak patut dijadikan iktibar untuk mengelakkan lanjutan masa dan pertambahan kos bagi sesuatu projek pada masa depan, kata Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Khamis lalu, Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong, menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ke tapak projek itu di Kampung Cangkat Gombak, Selangor.
Katanya, Sungai Klang, Sungai Batu dan Sungai Gombak dari Selangor merupakan sungai-sungai utama di Kuala Lumpur yang menyebabkan banjir terbesar di sejarah bandaraya pada 1971.
Rancangan tebatan banjir (RTB) Kuala Lumpur bermula pada tahun berikutnya, manakala projek-projek Empangan Klang Gates dan Empangan Batu masing-masing pada 1980 dan 1987, katanya.
Pada 1984, tambahnya, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) merancangkan Projek Empangan Gombak. Ia dibatalkan kerana bantahan penduduk.
"Pada 1989, JPS merancang projek lencongan Sungai Gombak sebagai alternatif. Air hujan lebat dari Sungai Gombak dilencongkan dari Kampung Cangkat sepanjang 3.3 km ke kolam Batu yang diperbesarkan," katanya.
Projek dilanjutkan
Menurut Dr Tan lagi, kontraktor pertama dilantik melaksanakan projek lencongan tersebut pada 10 Mac 1994 dan ditetapkan siap pada 31 Julai 2003 dengan kos RM 17.216 juta.
"JPS telah mengadakan banyak dialog dengan penduduk kerana pelbagai faktor, contohnya, pemindahan rumah, setinggan, jajaran lencongan, kilang-kilang, bayaran pampasan, kerja tambahan, dan kerosakan rumah-rumah ketika pembinaan," katanya dalam satu kenyataan.
Dari 10 Mac 1996 hingga 31 Julai 2003, katanya, tarikh siap projek tersebut telah dilanjutkan sebanyak tujuh kali, manakala kosnya ditambah kepada kira-kira RM20 juta.
"Projek ini dikaji semula akibat banjir teruk melanda Kuala Lumpur pada 21 April 2001, 29 Oktober 2001 dan 2003.
"Laporan ADB 2001 mengenai kajian semula RTB Kuala Lumpur mewujudkan Projek Hujan Lebat dan Terowong Jalan (Smart) untuk Sungai Klang dan Projek Kolam-kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang, termasuk melebarkan lencongan Sungai Gombak untuk Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang dan Sungai Keroh," katanya.
Menurutnya lagi, kontraktor kedua - Peremba ECD Constrution Sdn Bhd - telah dilantik untuk Lencongan Sungai Gombak.
"Kontraktor ini juga memperluaskan kolam-kolam di Jinjang dan membina parit serta saluran bawah tanah untuk membawa air dari Sungai Keroh, Sungai Jinjang dan Sungai Batu ke kolam-kolam tersebut. Ia dipanggil Projek Kolam-kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang.
"Kosnya adalah lebih RM800 juta. Tempoh kontrak adalah dari 25 Ogos 2003 hingga 24 Mei 2007 dan setakat ini, telah dilanjutkan sehingga 27 Disember 2007," kata Dr Tan.
Menurutnya, permasalahannya meliputi soal pengambilan tanah bernilai RM88 juta, kerja memindahkan kabel telekom dan elektrik serta paip air, sesetengah penduduk mengambil kesempatan, subkontraktor tidak dibayar oleh kontraktor dan lebih satu kilometer Sungai Gombak ditutupkan dengan konkrit untuk jalan.
"Lencongan Sungai Gombak merupakan satu iktibar bagi mengelakkan kelewatan dan kos yang lebih.
"Selain daripada kebimbangan tentang penyalahgunaan wang rakyat untuk tebatan banjir di sungai, kita menumpukan perhatian kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelenggara semua longkang dan parit. Rakyat mestilah menjaga longkang, parit dan sungai," katanya.

