Suaram gesa tambah peruntukan untuk baiki keadaan lokap
Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 petang ini, Suaram menggesa kerajaan agar menambah peruntukan bagi memperbaiki keadaan lokap bagi mengelakkan kes kematian dalam tahanan di masa akan datang.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy membangkitkan keadaan lokap di penjara dan pusat tahanan ada masa ini yang sesak, tidak memiliki pengudaraan yang baik serta keadaan sel dan tandas yang tidak bersih.
"Ini bukan saja meningkatkan risiko penyakit kepada semua tahanan dan pegawai penguatkuasa, tetapi juga memburukkan keadaan tahanan yang sudah pun ada masalah kesihatan.
"Selain itu, penting untuk pihak berkuasa mematuhi Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lokap 1953 serta standard antarabangsa dengan menyediakan penjagaan kesihatan dan perhatian yang memadai kepada semua tahanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia mengulas statistik kes kematian dalam tahanan di Malaysia tahun lalu, yang menurutnya berlaku sebanyak 170 kali, dengan tujuh daripadanya melibatkan kanak-kanak.
Dalam jawapan parlimen kepada Chow Yu Hui (PH-Raub) semalam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan sepanjang tahun lalu, sejumlah 150 warga asing mati ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen, merangkumi 121 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Perlu dinyatakan jumlah kes-kes ini adalah 153 kematian, bukannya 150 seperti yang disebut dalam jawapan itu.
Baki kes kematian dalam tahanan (daripada 170 kes yang disebut Suaram) dilaporkan berlaku di penjara dan lokap polis.
Mengulas lanjut, Sevan berkata Kementerian Dalam Negeri dan jabatan Penjara perlu bekerjasama dengan Kementerian kesihatan untuk melaksanakan rutin penjagaan kesihatan di penjara dan pusat tahanan untuk tahanan yang memiliki masalah kesihatan.
Selain itu, katanya lagi, kerajaan perlu meneroka pendekatan alternatif untuk mengurangkan kesesakan pusat tahanan, seperti meningkatkan kapasiti siasatan pegawai polis agar risiko salah guna undang-undang penahanan tanpa bicara dapat dikurangkan, dan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melaksanakan program pemulihan untuk mengurangkan kesalahan berkaitan dadah.
"Dengan mengambil pendekatan ini, kita dapat berusaha ke arah sistem keadilan jenayah yang lebih adil dan berperikemanusiaan," katanya lagi.
Dia juga menggesa kerajaan agar menjadi lebih telus berhubung pendedahan maklumat berkaitan kematian dalam tahanan, dan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawapan parlimen selepas ahli parlimen membangkitkan persoalan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/1b451272f372631e997a5991139a985a.jpg)
