Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad sah mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti itu Mac depan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Noraini berkata dia telah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan itu kepada sekretariat pemilihan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

"Bersempena dengan hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya bersama dengan saf kepimpinan Wanita (Umno) telah selesai menghantar borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan sebagai ketua Wanita Umno Malaysia.

"Iltizam saya, masih sama, ingin meneruskan agenda yang telah kita gerakan bersama selama ini dalam memperkasakan Umno dan Wanita khususnya," katanya.

Pengumuman itu bermakna Noraini akan dicabar bekas ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil yang baru-baru mengesahkan akan merebut semula jawatan berkenaan.

Shahrizat pernah menjadi ketua wanita Umno sejak 2009 sehingga 2018.

Dalam pada itu, Noraini berkata Wanita Umno memainkan peranan penting dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu

"Pasca PRU15 mendesak Wanita Umno untuk memainkan peranan yang lebih besar demi memastikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap dapat dikembalikan.

"Justeru, saya dengan rasa merendah diri, memohon sokongan dan dokongan daripada para perwakilan sekalian bagi meneruskan kesinambungan usaha yang telah sama-sama kita lakukan sebelum ini," Katanya.