MB Pahang serah borang tanding jawatan Naib Presiden Umno
Pengerusi Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menjadi pemimpin parti yang kelima menawarkan diri bertanding bagi jawatan naib presiden Umno.
Menteri besar Pahang itu menghantar borang pencalonannya di Auditorium Umno di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, kira-kira jam tiga petang tadi.
Wan Rosdy yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Jelai selama enam penggal dilantik menteri besar Pahang selepas pilihan raya umum ke-14.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dia sekali lagi dipilih sebagai menteri besar selepas BN dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di Pahang.
Ini susulan tidak ada parti boleh menubuhkan kerajaan di Pahang pasca PRU15 berikutan BN hanya memenangi 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi Dun.
PH Pahang pula memperoleh lapan kerusi DUN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/7ecdfd37b62f14f4db42b972649779c2.jpg)
