Beberapa ahli ekonomi memuji Belanjawan 2023, mengatakan ia mempunyai "wow factor" dan menyifatkannya sebagai belanjawan yang "bertanggungjawab".

Bagaimanapun, salah seorang pakar ekonomi yang bercakap dengan Malaysiakini melihat ada ruang untuk penambahbaikan dalam belanjawan itu.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai berkata dia kagum dengan cara Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan seimbang.

"Secara keseluruhannya, belanjawan ini mempunyai 'wow factor' yang menarik," katanya.

Bagaimanapun, dia kecewa kerana Anwar, yang juga menteri kewangan, tidak banyak bercakap mengenai pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta kekurangan pelan perlindungan sosial jangka panjang.

"Tidak ada perubahan yang ketara bagaimana kerajaan tangani isu perlindungan sosial dalam jangka panjang. Jadi secara keseluruhan kita kata bahawa belanjawan ini menepati matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah dalam jangka pendek.

"(Tapi) masih perlu melihat apakah rancangan jangka pertengahan dan jangka panjang untuk tangani isu ekonomi di Malaysia kerana kita hadapi isu besar dalam aspek pengagihan pendapat kekayaan," kata Barjoyai kepada Malaysiakini melalui maklum balas segera berhubung ucapan Belanjawan 2023 Anwar hari ini.

Petang tadi, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, AT Kumarajah, bekas ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, berkata Belanjawan 2023 mengambil kira kedudukan fiskal semasa negara.

“Untuk menghasilkan RM338 bilion dan mengekang defisit kepada lima peratus dan komited kepada 3.2 peratus menjelang 2025 adalah dipuji.

“Saya rasa kita sebagai sebuah negara perlu menarik ke satu arah dengan perdana menteri dan merealisasikannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menyifatkannya sebagai belanjawan jelas yang merangkumi isu penting selaras dengan konsep Malaysia Madani, Kumarajah berkata belanjawan itu bukan sahaja akan mampan dan inklusif, tetapi juga telus.

Dia juga berkata belanjawan itu akan memberi isyarat baik kepada masyarakat antarabangsa serta menguatkuasakan disiplin dalam pendekatan kerajaan menguruskan ekonomi.