Pengundi wanita faktor penentu di Machap?
Separuh daripada 9,623 pengundi di Machap adalah wanita dan mereka mungkin menjadi penentu dalam keputusan pilihanraya kecil kawasan itu pada 12 April ini, kata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Separuh daripada 9,623 pengundi di Machap adalah wanita dan mereka mungkin menjadi penentu dalam keputusan pilihanraya kecil kawasan itu pada 12 April ini, kata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurutnya, pengundi wanita di negara ini tidak sewenang-wenang boleh dicucuk hidung dan sentiasa memberikan undi yang stabil kepada Barisan Nasional (BN).
"Wanita adalah pengundi setia dan mempunyai kecenderungan untuk memilih BN kerana tahu apa yang kerajaan rancangkan untuk mereka," katanya kepada pemberita di Alor Gajah hari ini.
Pilihanraya kecil DUN Machap melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Lai Meng Chong, 56 dan calon DAP Liou Chen Kuang, 33, demikian menurut laporan Bernama.
Kerusi tersebut kosong berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang pada 15 Mac lalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, parti itu akan menyenarai pendek 20 calon untuk pilihanraya kecil DUN Ijok.
Katanya, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu akan membuat keputusan muktamad calon Barisan Nasional (BN) daripada senarai tersebut.
Kerusi DUN Ijok kosong selepas penyandangnya Datuk K. Sivalingam, 59, meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung selepas rebah di Lapangan Terbang Chennai, India, sejurus tiba dari Malaysia Rabu lalu.
Dalam pilihanraya umum 2004, mendiang Sivalingam mengekalkan kerusi itu bagi penggal ketiga dengan menewaskan calon Parti Keadilan Nasional, Abdul Rahman Moharam, dengan majoriti 1,649 undi.

