Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong hari ini memohon maaf berikutan kenyataannya terhadap Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dalam sidang akhbar semasa konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan Ahad lalu.

"Saya dengan rendah hati dan ikhlas memohon maaf atas kenyataan itu," katanya dalam satu siaran akhbar hari ini, sambil menambah bahawa kenyataan berkenaan dibuat atas kedudukan peribadinya.

Dr Tan, yang juga Ahli Parlimen Segambut, berkata beliau tidak berniat menghina Islam dan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam negeri itu, demikian menurut laporan Bernama.

Dalam sidang akhbar berkenaan, Dr Tan menyatakan kebimbangannya berhubung tindakan memerintah orang bukan Islam menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah dan meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin melalui SMS yang menimbulkan ketegangan agama, dengan menyebut secarakhusus kes yang melibatkan Harussani.

Sebuah akhbar berbahasa Ingeris melaporkan Gerakan Wilayah Persekutuan meluluskan usul mendesak pemecatan Harussani berkaitan perbuatan penyebaran SMS yang tidak berasas yang mendakwa pelayar Datuk Azhar Mansor telah murtad.

Kenyataan Dr Tan itu telah mencetuskan kemarahan banyak pihak, termasuk Pemuda PAS Wilayah Persekutan, yang menyifatkannya sebagai campurtangan dalam hal-ehwal agama Islam.

Mesyuarat terakhir

Berikutan itu, pergerakan tersebut telah membuat laporan polis terhadap Dr Tan semalam. Ia juga menghantar memorandum bantahan kepada parti Gerakan dan menuntut Dr Tan memohon maaf.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini menjelaskan bahawa tiada resolusi sedemikian diluluskan pada konvensyen berkenaan.

"Gerakan sedar sepenuhnya bahawa pelantikan mufti itu dibuat atas perkenan Sultan Perak. Kami hormati kuasa baginda sebagai pemerintah negeri itu," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu adalah yang terakhir dipengerusikan Dr Lim sebagai presiden Gerakan setelah menerajui parti itu selama 26 tahun.

"Saya harap, dengan kenyataan dan penjelasan ini, isu berkenaan ditutup dan rakyat tidak melihatnya di luar konteks sebenar," katanya.

Satu perhimpunan agung luar biasa akan diadakan di ibu pejabat Gerakan esok bagi menerima persaraan Dr Lim. Ia juga akan menyaksikan pengesahan timbalan presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai pemangku presiden.

Dr Lim berkata beliau sedia menerima apa jua peranan yang diberi oleh Gerakan kepadanya setelah bersara.