PRN: Agihan kerusi PH, BN dijangka diumum akhir Mac - Fahmi
Pengagihan kerusi antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan bagi berdepan PRN di enam negeri dijangka akan diumum pada hujung bulan depan.
Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata ia mungkin diumum lebih awal kerana rundingan rasmi pembahagian kerusi sudah berlangsung agak lama.
Dia berkata hasil rundingan akan dibawa kepada Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
"Saya jangka (pengumuman hasil rundingan pembahagian kerusi PRN) dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang sebab perbincangan rasmi sudah berlangsung agak lama.
"Mungkin diumumkan sebelum hujung Mac atau lebih awal. Tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak, mungkin ada sesetengah negeri diumum dahulu. Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan," katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan rundingan pembahagian kerusi antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan menjelang PRN di enam negeri yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.
Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan perlu melaksanakan PRN sebelum Julai ini.
Sementara itu, Fahmi berkata Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan menjadi platform rasmi mengenai pemakluman dan pengumuman pembahagian kerusi PRN bagi parti-parti dalam kerajaan itu.
"Proses ini akan dimuktamadkan melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk beberapa minggu lalu. Ini akan menjadi platform rasmi untuk kita umumkan kelak," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/41e8f7d5a798dad487547cefae1c7c7e.jpg)
