Masalah dalaman Umno jejas persiapan praya kecil Ijok?
Masalah dalaman yang berlaku dalam Umno bahagian Kuala Selangor boleh menjejaskan persiapan jentera pilihanraya parti itu untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Masalah dalaman yang berlaku dalam Umno bahagian Kuala Selangor boleh menjejaskan persiapan jentera pilihanraya parti itu untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Ini ditambah pula dengan hasrat Umno bahagian Kuala Selangor untuk mendesak BN Selangor meletakkan calon dari Umno bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.
Umno bahagian dijangka menemui Pengerusi Umno dan BN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang juga Menteri Besar, hari ini atau esok, berhubung perkara tersebut.
Selama ini, kerusi tersebut diwakili oleh MIC kerana jumlah pengundi India di kawasan Ijok adalah yang teramai di Selangor.
Perselisihan tercetus apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Datuk Amerudin Setro mencabar ketua bahagian berkenaan, Daud Tarihep untuk jawatan berkenaan dalam pemilihan parti yang lalu.
Amerudin memenangi pertandingan tersebut dan sejak itu hubungannya dengan Daud yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, renggang.
Menurut sumber Umno bahagian Kuala Selangor, Daud tidak bersetuju Amerudin mencabarnya dengan alasan Amerudin telahpun menjadi Adun Jeram.
Di samping itu, kata sumber itu lagi, penyokong kuat Amerudin Mohamed Sayuti Said yang juga timbalan ketua bahagian itu dipilih bertanding dan menang kerusi DUN Bukit Melawati.
Terdapat tiga DUN negeri dalam Parlimen Kuala Selangor Ijok, Jeram dan Bukit Melawati.
Hubungan renggang
Bagaimanapun, kata sumber itu, Amerudin berkeras mahu juga bertanding jawatan ketua Umno bahagian dan berjaya menewaskan Daud.
Sumber itu juga mendakwa, ada pemimpin tinggi dalam Badan Perhubungan Umno Selangor yang mahukan Amerudin menjatuhkan Daud daripada jawatan ketua bahagian berkenaan.
"Amerudin berjaya mengalahkan Daud dan mulai saat itu, hubungan mereka renggang sehingga sekarang.
"Daud walaupun menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor seperti dipinggirkan oleh kepimpinan bahagian tersebut," kata sumber itu lagi.
Umno bahagian juga, kata sumber itu, memulaukan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Daud, tetapi baru-baru ini, beliau dijemput menghadiri perbincangan mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil Ijok.
Kerusi DUN Ijok kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk K Sivalingam, di Chennai, India, akibat serangan jantung pada 4 April lalu.
Sivalingam, 59, yang juga Timbalan Ketua Badan Perhubungan MIC Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpaduan dan Pekerja Ladang Selangor, memenangi kerusi itu untuk penggal ketiga dalam pilihanraya umum lalu.
Mendiang menewaskan Abdul Rahman Moharam daripada parti Keadilan dengan majoriti 1,649 undi.
Punca perselisihan
Sumber itu juga mendakwa, Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor sendiri tidak berusaha untuk memulihkan hubungan Daud dengan Amerudin serta pimpinan Umno bahagian yang lain.
Beliau mendakwa, masalah dalaman Umno Kuala Selangor tercetus daripada khabar angin sebelum pilihanraya umum 2004 yang Daud akan bertanding kerusi DUN Bukit Melawati dan menggantikan Mohd Khir sebagai Menteri Besar Selangor.
"Cerita tersebut dikatakan mencetuskan rasa kurang senang Mohd Khir hingga membawa kepada berlakunya perebutan jawatan Ketua Umno bahagian Kuala Selangor antara Daud dengan Amerudin," kata sumber itu lagi.
Bagaimanapun, katanya, badan perhubungan itu boleh pula campurtangan untuk mengelak pertandingan antara bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang mahu mencabar ketua Umno bahagian Ulu Langat, Ahmad Kuris Mohd Noor, dalam pemilihan 2004.
Sebaliknya, kata sumber itu lagi, badan perhubungan tidak melakukan apa-apa apabila Amerudin mahu mencabar Daud pada tahun sama.
Zainal Abidin kini telah meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu.

