Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lawatannya ke Korea Selatan baru-baru ini bukan untuk membeli kapal perang.

Sebaliknya, kata beliau, memberitahu Dewan Rakyat hari ini, bahawa beliau ke negara itu untuk sekadar meninjau kemampuan industri pertahanannya untuk pertimbangan bagi program pertahanan Malaysia pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa tidak ada sebarang pembelian dibuat semasa lawatan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

"Kita cuma meninjau perkembangan dari kemampuan mereka," kata Najib semasa menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang ingin tahu sama ada lawatan itu ada kaitan dengan ura-ura Malaysia mahu membeli kapal perang dari Korea Selatan.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Razali Ibrahim (BN-Muar), Najib berkata Majlis Industri Pertahanan Malaysia mengambil beberapa langkah untuk membangunkan industri pertahanan negara, antaranya memperkenalkan pelbagai galakan menerusi pemberian kontrak jangka panjang bagi memberi peluang kepada syarikat terlibat memperoleh keuntungan yang munasabah.

Kontrak jangka panjang

"Kontrak jangka panjang dipertimbang bagi perolehan strategik/keselamatan yang melibatkan pelaburan yang tinggi daripada segi infrastruktur, peralatan/jentera, tenaga kerja dan usaha penyelidikan dan

pembangunan," katanya.

Majlis itu juga, katanya, mengeluarkan panduan mengenai program-program timbalan balas, pemindahan teknologi serta menyelaras peluang untuk pasaran eksport termasuk penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan Razali, Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum sesuatu projek dan program dilaksanakan oleh syarikat industri pertahanan, kerajaan akan mengambil kira faktor manfaatnya.

"Mana-mana projek yang memberi manfaat kita akan beri galakan," katanya.