mk-logo
Berita
Saiz telur: Wee dapat surat peguam pengimport telur dari India
Diterbitkan:  Feb 28, 2023 11:25 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong telah menerima surat peguam daripada pengimport telur dari India berikutan kenyataan yang dibuatnya di Dewan Rakyat minggu lalu.

Presiden MCA ketika itu telah membawa tiga jenis telur yang berbeza - telur dari India, telur Omega dan telur tempatan - ke Dewan Rakyat untuk menambah hujahnya dengan membandingkan saiz dan harganya.

"Sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membangkitkan isu yang melibatkan kepentingan negara.

"Saya tak pernah sebut nama mana-mana syarikat atau individu dalam perbahasan saya di Dewan Rakyat,” kata Wee pada hantaran di media sosial hari ini dengan lampiran tangkap layar surat peguam dan balasan daripadanya.

Dalam ucapannya di parlimen, Wee mendakwa telur dari India itu dibeli dengan harga 50 sen walaupun saiznya lebih kecil manakala telur keluaran tempatan dikawal pada harga 45 sen.

Dia turut menggesa Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu supaya segera menyelesaikan isu bekalan telur tempatan supaya tidak berlaku kekurangan pada Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Mohamad Sabu sebelum ini berkata pengimportan telur dari India hanyalah langkah sementara sehingga bekalan tempatan stabil.

Surat peguam itu, bertarikh 23 Feb, berkata sebagai pengimport telur, mereka merasa terdorong untuk membetulkan kenyataan Wee yang "mengelirukan, salah maklumat dan nakal".

Ketika membuat kenyataan sedemikian, pengimport telur berkenaan mendakwa ahli parlimen Ayer Hitam itu tidak sedar kepentingan untuk memenuhi keperluan dalam negeri dengan hanya menumpukan kepada keuntungan.

Mereka juga mendakwa bahawa kenyataan Wee telah menyebabkan kerugian dan mencemarkan nama baik mereka.

Oleh itu, pengimport berkenaan menuntut Wee menyebarkan kenyataan yang mencerminkan "keadaan semasa yang benar dan tepat mengenai keadaan pasaran semasa yang memerlukan import telur dan harga runcit sebenar telur yang diimport."

Sebagai tindak balas, Wee menafikan sekeras-kerasnya membuat sebarang nakal atau "dakwaan yang tidak diingini".

Bantah import telur

"Isu yang dibangkitkan adalah kepentingan negara bukan sahaja melibatkan penternak di kawasan saya tetapi kepada semua penternak di Malaysia secara amnya," katanya dalam surat jawapannya.

Tambahnya, dia tidak mengetahui kepentingan pengimport berkenaan dan kenyataannya secara khusus bertujuan membantah keputusan kementerian mengimport telur bagi menyelesaikan isu kekurangan telur di negara ini.

Dia juga mengalu-alukan pengimport berkenaan untuk memberikan apa-apa maklumat yang mereka mungkin ada berkaitan dengan faedah pengimportan telur dari India dan dia akan bertindak ke atasnya secara bertanggungjawab.

Lihat Komen
ADS