Polis menahan seorang peniaga yang melepaskan tembakan ke udara selepas mendengar ceramah, termasuk yang disampaikan oleh Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan di kawasan expo perdagangan anjuran PAS di Km 8 Jalan Langgar.

Lelaki yang berasal dari Lorong Terang, Jalan Teluk Wan Jah, Alor Star itu, melepas empat tembakan ke udara, dari sepucuk rifel separuh automatik, kira-kira tengah malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Polis menahan lelaki berusia 59 tahun itu di tempat kejadian dan ditahan reman selama lima hari untuk siasatan, kata Ketua Polis Kota Star, ACP Zainal Abidin Kasim.

Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, beliau berkata, lelaki tersebut menjual minuman herba dan tonik di ekspo berkenaan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir malam tadi.

"Pada malam Sabtu, lelaki itu melepaskan empat tembakan dan berhasrat untuk melepaskan lapan lagi tembakan malam tadi, tetapi tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian pertama," katanya.

Rampas rifel, peluru

Menurut Zainal Abidin lagi, lelaki tersebut dilihat menggalas sepucuk rifel separuh automatik Binelli di bahunya bersama peluru di pinggangnya pada malam Ahad.

Katanya, anggota polis yang berada di situ telah meminta pihak penganjur ekspo itu supaya menasihatkan lelaki itu supaya tidak melepaskan sebarang tembakan, tetapi dia tidak menghiraukan nasihat tersebut.

Terdapat kira-kira 300 orang di ekspo tersebut ketika lelaki itu melepaskan tembakan ke udara, dan polis terus menahannya dan merampas rifel serta enam butir peluru, katanya.

Zainal Abidin berkata, peniaga tersebut kemudiannya di bawa ke balai polis Jalan Langgar dan apabila disoalsiasat, jawabnya dia melepaskan tembakan ke udara untuk suka-suka.

Polis kemudiannya merampaskan 171 butir lagi peluru di rumahnya.

Siasatan polis mendapati perniaga itu mempunyai lesen yang sah untuk memiliki rifel dan peluru tersebut untuk melindunginya kebunnya sejak 1993.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960 kerana melepaskan tembakan di lokasi yang tidak dibenarkan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama setahun atau denda RM2,000.