Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi belum pulih dari penyakit 'murung', kata Adun Selangor
Diterbitkan:  Mar 1, 2023 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menyifatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang belum pulih daripada penyakit 'kemurungan politik' yang dihadapinya.

Ini selepas ahli parlimen Marang itu menjangkakan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

"Omongan kosong Presiden PAS yang secara konsisten dengan naratif 'kerajaan akan jatuh' sejak Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan menunjukkan betapa beliau masih tidak dapat menerima realiti serta belum pulih daripada penyakit kemurungan politik,” kata pemimpin PKR itu dalam satu kenyataan.

Semalam Abdul Hadi berkata, dia menjangkakan kerajaan pimpinan Anwar akan runtuh tanpa menyebut mengenai asas jangkaan itu dibuat.

"Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

"Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum itu Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.

Bagaimanapun Najwan percaya kenyataan Abdul Hadi itu hanyalah perang saraf untuk menggambarkan ketidakstabilan dalam parti-parti kerajaan.

Realitinya, kata Najwan, kerajaan pimpinan Anwar amat kukuh dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli parlimen.

"Lebih 100 hari sejak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara, beliau telah berjaya mewujudkan kesepakatan dan keyakinan di kalangan parti-parti yang bergabung membentuk Kerajaan," katanya.

Najwan menambah pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan perdana menteri untuk menetapkan semula hala tuju dan keutamaan kerajaan.

“Belanjawan 2023 yang dibentang turut membuktikan komitmen Kerajaan untuk menangani masalah rakyat terkait kos sara hidup serta membasmi kemiskinan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS