Dasar kill switch yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini, mampu mengelakkan mangsa daripada mengalami kerugian yang lebih besar.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin berkata pendekatan yang sama juga telah digunakan di negara lain seperti Singapura.

“Pendekatan ini yang akan dikuatkuasakan oleh Bank Negara membolehkan pemilik akaun menyekat transaksi kewangan sendiri jika menyedari maklumat perbankan mereka terdedah dan menjadi mangsa penipuan atau mendapati terdapat transaksi yang meragukan.

“Sehubungan itu PDRM menyokong penuh pendekatan ini dan yakin dengan langkah berkenaan dapat mengelakkan individu atau mangsa penipuan mengalami kerugian lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Noorsiah PDRM turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan panggilan, pautan (link) atau aplikasi telefon yang diterima dari pihak yang tidak dikenali dan tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan dengan mana-mana pihak.

Menurutnya orang ramai juga perlu segera hubungi bank atau National Scam Response Center di talian 997 jika menyedari telah menjadi mangsa penipuan dalam talian,.

Beliau berkata orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah penipuan di https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

- Bernama