Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Menu Rahmah tetap relevan walau harga makanan murah di Kelantan’

Menu Rahmah akan membantu restoran dan kedai makan untuk menjadi lebih maju apabila dapat menarik lebih ramai pelanggan, termasuk di negeri yang sudah tersedia banyak kedai makan yang menawarkan harga berpatutan seperti Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub yang menegaskan inisiatif itu tetap relevan di negeri itu.

Katanya, ini kerana inisiatif itu akan memberi nilai tambah kepada premis yang mengambil bahagian.

"Menu Rahmah ini tetap relevan (di Kelantan). Kita tidak akan usik model perniagaan kedai makan atau restoran, malah kita akan tolong promosi (mereka).

"Insya-Allah kita akan membantu mereka untuk memberi nilai tambah dengan menggamit lebih ramai orang datang ke kedai mereka. Konsep Menu Rahmah ini akan tarik orang," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Menu Rahmah peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish Pasir Tumboh di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail dan Pengasas Al Khalish Group Hassan Saifuddin

Salahuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa Menu Rahmah tidak relevan bagi rakyat Kelantan kerana sudah banyak peniaga yang menyediakan makanan dengan harga lebih rendah.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata KPDN akan membantu mempromosikan kedai makan yang menjayakan Menu Rahmah.

"Kita harap lebih ramai peniaga yang berminat untuk menyertai program Menu Rahmah. Dari sehari ke sehari, penyertaan peniaga dalam program ini semakin bertambah dan sehingga hari ini sebanyak 1,142 premis di seluruh negara yang menyertainya, tidak termasuk restoran makanan segera.

"Di Kelantan terdapat 90 premis makanan yang menyertai program ini dan diharapkan lebih ramai peniaga yang mahu sama-sama menjayakan Menu Rahmah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS