Majikan digesa beri cuti khas pekerja pulang mengundi
Majikan digesa supaya memberikan cuti khas tanpa rekod kepada kakitangan mereka untuk pulang mengundi dalam pilihanraya kecil Machap pada 12 April depan.
Majikan digesa supaya memberikan cuti khas tanpa rekod kepada kakitangan mereka untuk pulang mengundi dalam pilihanraya kecil Machap pada 12 April depan.
Pengerusi Jawatankuasa DAP bagi pilihanraya kecil Machap, Sim Tong Hin berkata, kira-kira 25 peratus daripada pengundi Machap bekerja atau belajar di sekitar Lembah Kelang, Johor Bahru dan Singapura.
"Maka para majikan haruslah memberikan mereka cuti khas tanpa rekod supaya mereka dapat menunaikan kewajipan sebagai seorang warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataa.
"Mengikut undang-undang sedia ada, majikan tidak boleh menghalang kakitangan mereka balik membuang undi. Namun, disebabkan perjalanan balik kampung terlalu panjang, maka kebanyakan majikan mungkin meminta kakitangan bawahannya memohon cuti tahunan untuk balik ke kampung," katanya lagi.
Keadaan itu, katanya, mungkin menghalang antara mereka pulang mengundi dan seterusnya menjejaskan erti demokrasi yang sebenar.
Pelajar universiti
"Kami berharap majikan dapat memahami kepentingan demokrasi dan sama-samalah kita menyumbang kepada pembangunan demokrasi negara kita," katanya.
Pada masa yang sama, Sim berharap pihak universiti atau kolej juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk pulang mengundi, tanpa merekodkan ketidakhadiran mereka kerana ia boleh menghalang mereka menduduki peperiksaan kemudiannya.
Bagi yang bekerja di Singapura pula, katanya, DAP berharap mereka sedia berkorban untuk pulang mengundi bagi pilihanraya kecil kali ini.
Menurutnya, walaupun SPR menetapkan hari Khamis untuk membuang undi, namun DAP berharap para pengundi dapat menghargai peluang keemasan kali ini.

