Kerajaan belum bercadang mewajibkan semua penulis blog tempatan mendaftar kerana berpendapat undang-undang dan peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk bertindak terhadap mereka yang melampau jika diperlukan.

"Undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia akan dikuatkuasakan bila ia perlu dikuatkuasakan," katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di ibunegara semalam, Perdana Menteri berkata, beliau turut menerima maklumat bahawa ramai pihak kesal dengan aktiviti penulis blog yang menyebarkan maklumat tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak yakin tindakan mendaftar penulis blog akan menyelesaikan sepenuhnya masalah penyebaran maklumat tidak berasas itu, demikian menurut laporan Bernama

"Walaupun diminta berdaftar, mungkin sesetengah daripada mereka tidak mematuhi arahan dan menggunakan saluran lain melalui server luar (negara)," katanya.

Sebelum ini, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk mendaftarkan laman blog, terutamanya yang bersifat politik.

Katanya, jika media arus perdana tertakluk kepada pendaftaran, pemantauan dan undang-undang tertentu, tidak ada sebab kenapa pengendali blog boleh dikecualikan.

"Kita mesti tahu siapa mereka, jadi mesti ada undang-undang yang akan menyebabkan mereka kita kenali," kata Zainuddin kepada pemberita di Singapura Jumaat lalu.

Laporan mengenai Taib

Ditanya mengenai satu laporan luar negara tentang urusniaga balak yang mengaitkan nama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdullah berkata: "Saya tidak sedar mengenainya".

Menurut laporan agensi asing pada 29 Mac, Taib dibabitkan dengan sogokan daripada eksport balak berjumlah 1.1 bilion yen (RM32 juta).

Laporan itu menyebut sembilan syarikat perkapalan Jepun yang mengangkut kayu gergaji dari Sarawak didakwa gagal melaporkan pendapatan keseluruhan berjumlah kira-kira 1.1 bilion yen bagi tempoh tujuh tahun sehingga Mac lalu.

Laporan itu mendakwa wang terbabit merupakan sogokan kepada pegawai Sarawak menerusi sebuah ejen di Hong Kong yang mempunyai hubungan dengan Taib dan keluarganya.